
BEKENU: Sebanyak 58 masjid dan surau di Parlimen Sibuti menerima geran aktiviti berjumlah RM134,000 bagi tahun 2026, yang diserahkan dalam satu majlis di Masjid Al-Mutaqqin di sini semalam.
Timbalan Menteri Luar Negeri yang juga Ahli Parlimen Sibuti Dato Lukanisman Awang Sauni berkata, peruntukan tersebut bertujuan memperkasakan pengurusan serta pelaksanaan aktiviti keagamaan di setiap masjid dan surau.
“Ini sekali gus menyemarakkan lagi program pembangunan ummah di kawasan Parlimen Sibuti.
“Selain itu, sebanyak 16 surau turut dikenal pasti untuk melaksanakan projek naik taraf dan baik pulih di bawah Peruntukan Khas Perdana Menteri bagi memastikan kemudahan ibadah berada dalam keadaan lebih selesa dan kondusif untuk kegunaan jemaah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Dalam majlis sama, sumbangan kurma turut diserahkan kepada masjid dan surau sempena Ramadan sebagai tanda sokongan dan keprihatinan terhadap keperluan umat Islam dalam membuat persiapan menyambut bulan penuh keberkatan itu.
Inisiatif berkenaan diharap dapat membantu memperkukuh institusi masjid dan surau sebagai pusat ibadah, pendidikan serta perpaduan masyarakat setempat di Parlimen P218 Sibuti.
Oleh Adum Liu