SIMANGGANG: Seramai 565 pelajar dari 14 sekolah dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang di sini telah dipilih untuk menerima baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Yayasan Sarawak (YS) 2021.
Baucar bernilai RM200 untuk setiap pelajar terpilih itu telah pun disampaikan oleh Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis pada Majlis Penyerahan Baucar Bantuan Pakaian Seragam Sekolah Tajaan YS 2021 di sini pada Selasa lepas.
“270 penerima daripada jumlah berkenaan adalah merupakan murid dari 11 sekolah rendah manakala baki 295 penerima pula merupakan pelajar dari tiga sekolah menengah (di DUN Simanggang).
“Pelajar yang terpilih untuk menerima bantuan ini hanya perlu ke kedai pembekal dan menulis nama pada baucar itu sebelum memilih barangan persekolahan dengan nilai harga keseluruhan sebanyak RM200,” kata beliau.
Harden ketika berucap pada majlis tersebut memberitahu bantuan ini adalah merupakan inisiatif YS untuk untuk membantu meringankan beban keluarga yang kurang mampu dalam membuat persiapan persekolahan anak masing-masing.
Malah pemberian bantuan itu kata beliau juga secara tidak langsung akan dapat membantu mereka menimba ilmu dengan lebih selesa dan lebih berkeyakinan dalam kehidupan seharian masing-masing.
“Justeru saya berharap agar ibu bapa dapat membantu anak-anak memilih barangan persekolahan yang sesuai di kedai pembekal terpilih sebagai langkah persediaan bagi menghadapi mengharungi sesi pembelajaran secara bersemuka di sekolah,” katanya.
Hadir sama, wakil Pengarah Yayasan Sarawak, Haznetta Sarenau Howell, Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, dan wakil Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Sri Aman, Moslimin Krim.
Terdahulu baucar berkenaan telah pun disampaikan kepada wakil-wakil sekolah yang tediri daripada para pengetua dan guru besar sebagai langkah pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) Covid-19.
Oleh VALENTINE NGUMBANG