
SIMANGGANG: Sebanyak 560 bungkus bubur lambuk diagihkan kepada orang ramai di Tebingan Sri Aman dalam satu program pengagihan sempena Ramadan yang dianjurkan oleh Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (SABERKAS) Cawangan Simanggang, semalam.
Program tersebut diketuai oleh Timbalan Menteri Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis yang juga Pengerusi SABERKAS Cawangan Simanggang.

Aktiviti tahunan itu diadakan bagi menghidupkan suasana Ramadan selain mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli SABERKAS dengan masyarakat setempat serta pengguna jalan raya yang melalui kawasan berkenaan.
Sebanyak 560 bungkus bubur lambuk telah disediakan oleh ahli SABERKAS Cawangan Simanggang dengan kerjasama staf sokongan Sekolah Kebangsaan (SK) St Lawrence, Sabu.
Kerja-kerja memasak bubur lambuk tersebut dijalankan lebih awal di perkarangan SK St Lawrence, Sabu sebelum diagihkan kepada orang ramai pada sebelah petang.

Terdahulu pada sebelah pagi, Datuk Francis Harden Hollis bersama isterinya, Datin Simba Nalang turut mengadakan lawatan tinjauan ke lokasi penyediaan bubur lambuk di sekolah berkenaan.
Dalam lawatan itu, beliau turut melakukan simbolik mengacau bubur lambuk sebagai tanda sokongan terhadap usaha sukarelawan yang terlibat dalam menjayakan program berkenaan.
Ketibaan beliau dan Datin Simba Nalang disambut oleh Setiausaha SABERKAS Cawangan Simanggang merangkap Pengerusi Pengelola program, Alfred Kendim bersama ahli SABERKAS serta staf SK St Lawrence, Sabu yang terlibat menyediakan bubur lambuk tersebut.
Oleh Adi Safarman