
SARATOK: Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah (BSPTD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok dengan kerjasama Balai Polis Saratok telah mengeluarkan sebanyak 56 keping saman menerusi Op Penguatkuasaan Lalu Lintas yang dijalankan di beberapa lokasi strategik daerah ini.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata, operasi tersebut dilaksanakan hari ini dari 10.00 pagi hingga 1.00 petang melibatkan kawasan Pekan Saratok, Lebuh Raya Pan Borneo serta Pekan Kabong.
“Sepanjang operasi dijalankan, sebanyak 56 keping saman telah dikeluarkan melibatkan pelbagai jenis kenderaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan, pecahan saman yang dikeluarkan melibatkan 21 kes terhadap pemandu kereta, 15 kes penunggang motosikal, 12 kes kenderaan pacuan empat roda dan lapan kes melibatkan lori.
DSP Mathew turut memaklumkan bahawa kesalahan paling banyak dikesan adalah melibatkan pemandu kereta yang memasuki laluan ‘Dilarang Masuk’, diikuti kesalahan penunggang motosikal yang tidak memakai topi keledar serta melakukan pengubahsuaian kenderaan secara tidak dibenarkan.
Katanya, operasi tersebut merupakan sebahagian daripada Op Penguatkuasaan Lalu Lintas yang telah dilaksanakan selama enam hari bermula 2 Februari hingga semalam bersama Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Saratok, dengan matlamat utama memberi kesedaran dan mendidik pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan sedia ada.
“Op seperti ini akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya terjamin dan bukan semata-mata bertujuan menghukum pesalah,” tegasnya.
Bagi tempoh enam hari operasi itu juga, pihak BSPTD IPD Saratok dan RCJ Balai Saratok berjaya menyita dua motosikal yang telah diubah suai sehingga boleh membahayakan penunggang serta pengguna jalan raya lain, sekali gus menunjukkan ketegasan pihak polis dalam menguatkuasakan undang-undang lalu lintas di Daerah Saratok.
Oleh Adi Safarman