KUCHING: Terdapat lima cabaran utama dihadapi kontraktor yang menyebabkan sebanyak 5,528 atau 72 peratus projek pembinaan masih belum beroperasi di seluruh Negara.
Menteri Kanan – Kerja Raya Dato’ Sri Fadillah Yusof berkata, lima cabaran utama itu adalah menunggu keadaan lebih stabil, kos ujian dan peralatan perlindungan diri (PPE ) berkaitan pencegahan Covid-19, pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselematan Negara (MKN), isu pekerja dan kekeliruan mengenai SOP.
“Maklumat ini diperolehi Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam satu kaji selidik bagi mendapatkan sebab masih banyak tapak pembinaan masih belum beroperasi,” katanya dalam kenyataan, semalam.
Beliau berkata, CIDB telah menjalankan pemeriksaan ke atas 7699 tapak pembinaan di seluruh negara dari 20 April sehingga 14 Jun 2020, dan daripada jumlah tersebut, 5528 (72 peratus) projek pembinaan masih belum beroperasi, berbanding 2171 (28 peratus) yang telah beroperasi.
“Daripada jumlah tapak pembinaan yang beroperasi, 1784 (82 peratus) didapati mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Majlis Keselamatan Negara (MKN), manakala 370 (17 peratus) tidak patuh dan diberi amaran dan 17 (1 peratus) tidak patuh dan diarahkan tutup tapak,” katanya.
Beliau berkata, Kementerian Kerja Raya (KKR) menggesa semua peneraju industri pembinaan supaya bersedia untuk melaksanakan norma baharu yang ditetapkan dalam pelaksanaan projek, selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
“Pelaksanaan amalan norma baharu ini haruslah dilaksanakan secara berterusan dan mengikut SOP yang ditetapkan agar industri pembinaan ini kekal selamat dan berdaya saing sehingga ke pasca Covid-19.
“Cabaran yang paling utama di dalam norma baharu di tapak pembinaan adalah memastikan keselamatan dan kesihatan diberi penekanan serta kebergantungan kepada tenaga kerja asing dapat dikurangkan melalui penggunaan teknologi terkini termasuk Sistem Binaan Berindustri (IBS) dan Building Information Modelling (BIM),” ujarnya.
Tegasnya, peneraju industri tidak boleh mengambil sikap ‘tunggu dan lihat’ dan menangguhkan operasi, sebaliknya perlu bersiap-sedia menyahut cabaran menggarap norma baharu dan meneruskan pelaksanaan projek yang tertangguh.
“Kerajaan telahpun memperkenalkan beberapa insentif kepada golongan kontraktor bagi mengurangkan impak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 yang dihadapi oleh industri pembinaan melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan baru-baru ini.
“Insentif ini perlu dimanfaatkan bagi mempertingkatkan pengetahuan, kemahiran dan kesediaan di dalam teknologi yang mampu meningkatkan tahap produktiviti sesuatu projek, seperti IBS dan BIM,” jelasnya.
Beliau menambah peneraju industri perlu bermula dari sekarang untuk mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran mereka terutamanya dalam menggarap norma dan juga teknologi baharu di dalam melaksanakan projek pembinaan yang berskala besar, mahupun yang kecil dan sederhana.
Oleh Zarina Abdullah