KUCHING: Sebanyak 60,000 anjing perlu divaksin bagi mengurangkan penularan wabak Rabies di Sarawak.
Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata, setakat ini dianggarkan hanya 4,700 ekor yang sudah divaksinasi, manakala 55,000 ekor anjing lagi perlu divaksin.
Katanya, usaha menangani penularan wabak tersebut hanya dapat dilakukan sekiranya masyarakat mempunyai kesedaran untuk memberi vaksin terhadap haiwan peliharaan mereka.
“Pada 2017, dalam masa enam bulan sahaja, kami memberi vaksin kepada 42,000 anjing, pada 2018, 66,000 anjing divaksin, pada 2019 turun kepada 50,000.
“Manakala pada 2021 dan 2022 disebabkan pandemik Covid-19, kira-kira hanya 14,000 dan 12,000 sahaja anjing divaksin.
“Akibatnya tidak mengejutkan, kes rabies kembali kerana kadar vaksinasi yang rendah. Tetapi tahun ini apabila kita mula semula, hanya 4,700 divaksin.
“Ia menunjukkan bahawa setiap daripada kita mempunyai peranan untuk dimainkan. Jika kita berbuat demikian, kita tidak perlu panik tentang rabies,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Forum Kesedaran Rabies di Auditorium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Sim yang juga Timbalan Premier menegaskan pencegahan virus rabies dapat dihapuskan sekiranya aktiviti penguatkuasaan boleh dilakukan secara bersepadu dengan kerjasama dari semua pihak dan agensi berkaitan.
“Pada masa ini, Unit Keselamatan Dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS) telah memvaksin sebanyak 74 peratus anjing di sepanjang sempadan. Tanpa mereka kita (Kerajaan Sarawak) tidak boleh melakukan vaksinasi di sepanjang sempadan.
“Kadar vaksinasi yang tinggi di sepanjang sempadan. Sekarang kita perlu menangani isu-isu di Sarawak. Kita boleh mengawal sempadan dengan baik tetapi tidak di dalam Sarawak.
“Tanggungjawab adalah di dalam Sarawak sekarang sama ada di luar bandar atau di bandar, jangan mencari alasan kerana kita semua menjalankan tanggungjawab kita,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri mensasarkan penularan virus rabies dihapuskan pada 2030 selari dengan agenda Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) yang mahu menghapuskan wabak tersebut.
Oleh Mohd Neenatul Aizal