
BAU: Lebih 550 peserta dari Malaysia, Brunei dan Australia menyertai Larian Antarabangsa Sambutan Ulang Tahun ke-20 yang dianjurkan Siniawan Hash House Harriers & Harriettes (Siniawan H4) bagi meraikan ulang tahun ke-20 mereka, semalam.
Acara berprestij itu berlangsung di laluan hutan dan pergunungan indah Kampung Tringgus, merangkumi kawasan Tringgus Bong, Tringgus Rabak Rotan dan Tringgus Matan Nguan.
Objektif utama penganjuran acara tersebut termasuk memupuk budaya lari denai tanpa sempadan, meningkatkan kefahaman terhadap budaya dan tradisi tempatan, menyemai kesedaran pemeliharaan alam sekitar, serta menyumbang kepada tujuan kebajikan.
Peserta ditawarkan tiga jarak pilihan iaitu Larian Jarak Jauh (10km), Larian Jarak Sederhana (6km) dan Larian Jarak Pendek (3km) yang memperlihatkan keunikan flora, fauna dan landskap semula jadi.
Ditubuhkan pada 2005 oleh sekumpulan pencinta alam, Siniawan H4 kini menjadi antara komuniti lari denai paling aktif di Sarawak, berteraskan semangat kecergasan, persahabatan dan kecintaan terhadap alam sekitar.

Selain larian, para peserta turut berpeluang merasai pengalaman budaya setempat di pekan bersejarah Siniawan yang terkenal dengan rumah kedai kayu lama serta pasar malam hujung minggunya.
Hidangan istimewa seperti Mi Kolok, Laksa Sarawak dan Manok Pansoh menjadi tarikan utama pengunjung.


RAKAMAN gambar kenangan bersama pihak yang terlibat dengan Larian Antarabangsa Sambutan Ulang Tahun ke-20 yang dianjurkan Siniawan Hash House Harriers & Harriettes (Siniawan H4).
Acara kali ini dianjurkan dengan kerjasama penduduk Kampung Tringgus Bong, Tringgus Rabak Rotan dan Tringgus Matan Nguan, serta mendapat sokongan Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak.
Turut hadir ADUN Serembu, Miro Simuh serta yang turut membantu penganjuran ialah Pejabat Daerah Bau, Majlis Daerah Bau, Polis Daerah Bau, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan RELA.
Oleh Masrin Affirah