
BARAM: Lebih 5,400 penduduk pedalaman Baram bakal menikmati bekalan air bersih melalui Projek Rawatan dan Bekalan Air baharu di Kampung Daleh Long Pelutan, Long Miri dan Long Pillah oleh Agensi Pembangunan Koridor Wilayah (RECODA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telang Usan, Dato Dennis Ngau menegaskan bahawa akses kepada bekalan air bersih bukan sekadar memenuhi keperluan asas harian, malah menjadi pemacu utama kepada pembangunan luar bandar.
Katanya, ketersediaan air bersih akan membuka lebih banyak peluang dalam bidang pertanian, perusahaan kecil dan pelancongan komuniti.
“Apabila sekolah, klinik dan rumah ibadat mempunyai sumber air yang mencukupi, ia akan meningkatkan kualiti perkhidmatan untuk masyarakat.
“Lebih penting, penduduk tidak lagi perlu bergantung kepada sumber air tidak selamat yang berisiko menjejaskan kesihatan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan majlis pecah tanah projek tersebut di Long Pillah di sini semalam.
Dalam pada itu, beliau menyatakan bahawa projek tersebut mengaplikasikan teknologi sistem penapisan pasir lambat yang berkesan menapis air mentah dari Sungai Baram (untuk Kampung Daleh Long Pelutan/Long Miri) dan Sungai Suan (untuk Long Pillah).
Ujar beliau, air yang telah dirawat akan disalurkan melalui rangkaian paip terus ke rumah-rumah penduduk, memastikan setiap isi rumah mendapat bekalan bersih yang berkualiti.
“Projek ini turut dilengkapi infrastruktur moden termasuk rumah janakuasa, generator simpanan, panel solar, serta tangki simpanan air mentah dan air hujan yang akan memastikan operasi lebih mampan.
“Keseluruhannya, lebih 400 isi rumah bersama sekolah dan klinik tempatan bakal menikmati manfaat secara langsung daripada projek ini,” tambahnya lagi.
Dato Dennis turut mengingatkan kejayaan projek bergantung pada kerjasama kontraktor, agensi pelaksana dan komuniti agar ia siap mengikut jadual, menepati piawaian serta memberi manfaat jangka panjang. – UKAS