
SARATOK: Seramai 54 peserta terdiri daripada pelajar dan guru menyertai Program Latihan Orang Awam (LOA) anjuran Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Saratok di Sekolah Kebangsaan (SK) Klua Krian, semalam, bagi meningkatkan pengetahuan serta kemahiran asas menghadapi situasi kecemasan.
Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Daerah Saratok, Leftenan Nur Athirah Batu berkata, program yang berlangsung dari 9.00 pagi hingga 11.45 pagi itu melibatkan penyertaan 38 pelajar dan 16 guru dengan bimbingan empat anggota APM Saratok.
Menurut beliau, latihan berkenaan bertujuan melengkapkan peserta dengan ilmu serta kemahiran asas yang boleh digunakan ketika berdepan situasi kecemasan di sekolah, di rumah mahupun di tempat awam.
Katanya, antara pengisian utama program ialah teknik menyelamat mangsa tercekik (choking), protokol bantuan pernafasan kecemasan (CPR) serta kaedah pengendalian haiwan berbisa yang sering menjadi ancaman di kawasan luar bandar.
Beliau berkata, sesi ceramah dimulakan sebaik anggota APM tiba di sekolah pada 9.00 pagi sebelum diteruskan dengan demonstrasi dan latihan praktikal berkaitan teknik menangani mangsa tercekik serta pelaksanaan CPR yang betul.
Menurutnya, pendekatan pembelajaran secara praktikal membolehkan peserta memahami setiap prosedur dengan lebih jelas selain meningkatkan keyakinan mereka untuk bertindak ketika berlaku kecemasan.
Selepas waktu rehat, latihan diteruskan pada 10.40 pagi dengan sesi penerangan mengenai pengendalian haiwan berbisa, termasuk langkah keselamatan, tindakan awal dan kaedah mengelakkan risiko ketika berdepan reptilia atau haiwan berbahaya.
Nur Athirah berkata, pendedahan itu penting memandangkan kawasan luar bandar sering berdepan risiko kehadiran haiwan berbisa, sekali gus memerlukan masyarakat mengetahui tindakan yang tepat sebelum bantuan profesional tiba.
Beliau berkata, program berakhir sepenuhnya pada 11.45 pagi dan sepanjang pelaksanaannya, semua aktiviti berjalan lancar tanpa sebarang insiden atau kecederaan dilaporkan.
“Program seperti ini amat penting dalam membentuk masyarakat yang lebih peka terhadap aspek keselamatan serta mampu memberikan bantuan awal ketika berdepan situasi kecemasan sebelum ketibaan pasukan penyelamat,” katanya.
Tambah beliau, APM Saratok akan terus memperluaskan pelaksanaan Program Latihan Orang Awam di institusi pendidikan dan komuniti setempat sebagai usaha meningkatkan tahap kesiapsiagaan masyarakat serta memperkukuhkan budaya keselamatan.
Beliau berharap lebih banyak sekolah dan komuniti akan mengambil peluang menyertai program seumpama itu kerana pengetahuan mengenai bantuan kecemasan bukan sahaja mampu menyelamatkan nyawa, malah melahirkan masyarakat yang lebih bersedia, berdaya tahan dan bertanggungjawab ketika menghadapi sebarang insiden.
Oleh Adi Safarman