
KUALA LUMPUR: Sebanyak 5,369 rumah bagi Program Perumahan Rumah Sejahtera (PPRS) dengan kos RM112.42 juta telah dan sedang dilaksanakan di Sarawak menerusi Projek Mesra Rakyat Luar Bandar, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang berkata projek itu merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Projek Mesra Rakyat luar bandar Sarawak bagi 2025, melibatkan jumlah keseluruhan sebanyak RM198.17 juta bagi projek telah dan sedang dilaksanakan.
Beliau berkata antara projek lain turut dilaksanakan termasuk inisiatif Jalan Perhubungan Desa (JPD) dengan peruntukan sebanyak RM67 juta melibatkan 169 projek, inisiatif Jalan Perhubungan Desa-Jalan Ladang berjumlah RM13.5 juta melibatkan 28 projek serta 18 projek Program Ameniti Sosial dengan peruntukan RM5.25 juta.
“Sesuai dengan fokus pelaksanaannya bersifat touch point dan people centric (berorientasikan rakyat), kementerian komited memastikan semua kawasan luar bandar mendapat akses kepada jalan perhubungan serta sumber bekalan air bersih dan terawat bagi memenuhi tuntutan pembangunan sosioekonomi.
“Langkah ini juga bagi memastikan tiada pihak tertinggal dalam menikmati pembangunan yang akan dilaksanakan,” katanya ketika menjawab soalan Edwin anak Banta (GPS-Selangau) mengenai jumlah projek pembangunan mesra rakyat luar bandar Sarawak termasuk di Parlimen Selangau.
Bagi Parlimen Selangau, Rubiah berkata terdapat empat Projek Mesra Rakyat dilaksanakan merangkumi tiga projek JPD dan satu PPRS dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.9 juta.
“Projek ini memberi manfaat kepada 23 Ketua Isi Rumah (KIR) menerusi baik pulih PPRS serta 750 penduduk kampung melalui naik taraf JPD yang telah dilaksanakan di kawasan Selangau.
Sementara itu, menjawab soalan berasingan Datuk Anyi Ngau (GPS-Baram) mengenai bekas jalan balak, Rubiah menjelaskan bahawa kementeriannya tidak mempunyai program khusus bagi penyenggaraan bekas jalan balak, namun laluan tersebut boleh dinaik taraf menjadi jalan dengan piawaian JKR melalui Program Jalan Luar Bandar (JALB)
Beliau berkata sejak Rancangan Malaysia ke-10, sebanyak 23 projek dengan kos keseluruhan berjumlah RM1.47 bilion diluluskan bagi projek menaik taraf bekas jalan balak di kawasan pedalaman seluruh Sarawak sepanjang 536.2 kilometer.
“Daripada 23 projek tersebut, sebanyak lapan projek telah siap, 11 projek dalam pembinaan dan empat lagi projek dalam peringkat prapelaksanaan.
“Bekas jalan balak yang telah siap akan diserahkan kepada kerajaan negeri untuk didaftarkan sebagai jalan negeri dan seterusnya layak untuk diselenggara di bawah peruntukan MARRIS (Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia),” katanya.
Anyi ingin tahu perancangan kementerian untuk menaik taraf bekas jalan balak di kawasan pedalaman Sarawak bagi kegunaan sepanjang masa.
-BERNAMA