

KUCHING: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sarawak terus mempergiatkan penguatkuasaan apabila melaksanakan satu operasi bersepadu yang dijalankan dari awal pagi semalam hingga awal pagi tadi di beberapa lokasi sekitar bandar raya ini.
Menurut kenyataan JIM Sarawak, operasi berkenaan dilaksanakan oleh Bahagian Penguatkuasa Imigresen Kuching sebagai sebahagian daripada usaha berterusan membanteras pelanggaran undang-undang imigresen di negeri ini.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 29 pegawai Imigresen yang digerakkan secara strategik bagi memastikan tindakan penguatkuasaan dapat dijalankan dengan berkesan dan menyeluruh.
Hasil operasi berkenaan, seramai 53 warga asing berjaya ditahan kerana disyaki melakukan pelbagai kesalahan di bawah undang-undang imigresen yang sedang berkuat kuasa.
Antara lokasi yang disasarkan termasuk beberapa buah rumah kediaman di kawasan kebun sekitar Kampung Trombol yang dipercayai menjadi penempatan warga asing tanpa dokumen sah.
Selain itu, beberapa buah kilang di kawasan perindustrian Demak serta rumah kongsi di tapak pembinaan di Jalan Arang turut diperiksa dalam operasi berkenaan.
Kesemua warga asing yang ditahan kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Kuching bagi menjalani siasatan lanjut, termasuk pengesahan status dan dokumen perjalanan masing-masing.
JIM Sarawak menegaskan pihaknya akan terus komited melaksanakan operasi penguatkuasaan secara berterusan bagi memastikan pematuhan undang-undang imigresen serta menjamin keselamatan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara.
Oleh Adi Safarman