
KUCHING: Jabatan Perikanan Laut Sarawak terus memperkukuh usaha pemuliharaan sumber perikanan marin menerusi pelaksanaan program melabuhkan 53 unit tukun tiruan di perairan Sematan dan Igan, Mukah bagi meningkatkan biodiversiti serta melindungi ekosistem laut daripada aktiviti perikanan yang menjejaskan habitat marin.
Menurut kenyataan media Jabatan Perikanan Laut Sarawak, sebanyak 35 unit tukun tiruan jenis rekreasi berjaya dilabuhkan di perairan Sematan oleh Cawangan Konservasi dan Perlindungan Sumber, semalam.
Katanya, program itu merupakan antara usaha berterusan jabatan dalam memulihara sumber perikanan marin melalui penyediaan habitat baharu kepada hidupan marin, sekali gus meningkatkan biodiversiti, menyokong pembangunan sektor perikanan rekreasi dan memastikan kelestarian sumber perikanan untuk manfaat generasi akan datang.

Dalam perkembangan berkaitan, jabatan itu turut memaklumkan sebanyak 18 unit tukun tiruan dasar lembut penghalang pukat tunda berjaya dilabuhkan di perairan Igan, Mukah, baru-baru ini.
Menurut kenyataan itu, pelaksanaan inisiatif berkenaan bertujuan memperkukuh usaha konservasi dan perlindungan sumber perikanan marin, khususnya bagi membendung aktiviti pencerobohan pukat tunda di kawasan perikanan pantai yang boleh menjejaskan habitat serta sumber perikanan.
Jabatan berkata, perlabuhan tukun tiruan tersebut diharap dapat melindungi habitat marin, memulihkan sumber perikanan serta menjamin kelestarian ekosistem laut demi kesejahteraan komuniti nelayan dan manfaat generasi akan datang.
Jabatan Perikanan Laut Sarawak menegaskan komitmennya untuk terus melaksanakan pelbagai inisiatif pemuliharaan dan pengurusan sumber perikanan secara mampan bagi memastikan khazanah perikanan negara terus terpelihara.
Oleh Adi Safarman