SARIKEI: Pelaksanaan 53 projek bekalan air berimpak tinggi di Bahagian Sarikei bernilai sekitar RM407 juta adalah bukti keprihatinan dan kesungguhan Kerajaan Sarawak dan Persekutuan menambah baik infrastruktur dan sistem bekalan air sekali gus menyelesaikan beberapa isu bekalan air di bahagian tersebut.
Menurut Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak, pelaksanaan projek-projek ini telah dirancang dengan rapi dan teliti oleh Kementerian Utiliti Sarawak melalui JBALB dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) Malaysia dengan pelaksanaan 46 Projek Rakyat.
Kata JBALB, dua projek ialah di bawah Rancangan Malaysia ke-11, dua projek KPLB, satu projek SCORE dan dua projek SAWAS bagi menampung permintaan bekalan air yang semakin meningkat di Bahagian Sarikei.
“Buat setakat ini, tiga belas projek bernilai sekitar RM30 juta iaitu, 34 Projek Rakyat, dua projek di bawah Rancangan Malaysia ke-11 dan dua projek KPLB telah siap dilaksanakan dan telah berjaya menangani isu bekalan air di beberapa kawasan di Bahagian Sarikei.
“Manakala 15 projek, iaitu 12 Projek Rakyat, satu projek SCORE dan dua projek SAWAS bernilai sekitar RM301 juta kini masih dalam peringkat pembinaan dan dijangka siap pada penghujung 2022.
“Di samping itu, satu projek KPLB bernilai sekitar RM76 juta kini berada dalam peringkat perancangan dan dijangka tender pada suku kedua tahun 2022,” katanya menerusi satu kenyataan media, semalam.
Dalam pada itu, menurut Menteri Muda Utiliti Sarawak (Bekalan Air) Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi yang turut melakukan lawatan kerja ke Projek Bekalan Air Bahagian Sarikei berkata, skop kerja bagi projek-projek ini merangkumi pemasangan saluran paip baharu, pembinaan tangki aras tinggi, pembinaan stesen pam penggalak, kerja-kerja menaik taraf loji rawatan air dan pembinaan muka sauk air mentah.
“Projek ini akan menambah baik sistem bekalan air sedia ada serta dijangka akan melonjakkan taraf sosioekonomi masyarakat setempat dan memangkin pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan serta memberi jaminan kualiti kehidupan yang lebih baik kepada penduduk di Bahagian Sarikei terutamanya kepada penduduk di Julau, Pakan dan kawasan KJD, Meradong, Bintangor, Tanjung Manis, Belawai sehingga Pulau Bruit.
“Bagi menjamin kualiti bekalan air yang lebih baik dan berterusan di Bahagian Sarikei, JBALB Sarawak akan memastikan projek-projek yang kini dalam peringkat pelaksanaan akan disiapkan dalam jangka masa yang telah ditetapkan,” ujarnya.
Jelasnya, projek-projek tersebut merupakan sebahagian daripada Sistem Grid Bekalan Air Sarawak yang diilhamkan oleh Ketua Menteri, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg untuk menyelesaikan isu bekalan air secara efektif dan menyeluruh.
Oleh EARL ANEK