BINTANGOR, 10 Oktober: Seramai 52 individu dan 49 kenderaan diperiksa dalam Operasi Bersepadu Pencegahan Jenayah yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Meradong di beberapa lokasi strategik sekitar daerah ini kelmarin.
Ketua Polis Daerah (KPD) Meradong, DSP Tansli Mering berkata, operasi selama empat jam bermula 2.00 petang hingga 6.00 petang tersebut turut menyaksikan tiga saman dikeluarkan, manakala tiada tangkapan atau rampasan direkodkan.
Katanya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihak polis untuk membanteras kegiatan jenayah, mencegah penyalahgunaan dadah serta meningkatkan tahap keselamatan dan ketenteraman awam.

“Operasi ini dilaksanakan bagi mengurangkan kadar jenayah indeks, mencegah kegiatan jenayah dan penyalahgunaan dadah, selain meningkatkan kehadiran polis di kawasan pentadbiran IPD Meradong.
“Pemeriksaan turut memberi tumpuan kepada usaha mengekang pergerakan penjenayah serta mengesan individu yang dikehendaki,” katanya ketika dihubungi.
Tambahnya, operasi tersebut diketuai Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti IPD Meradong, Inspektor Mohd Salman Zulfitri Sheekandar dengan kekuatan seramai 16 anggota polis.

“Antara lokasi yang menjadi tumpuan ialah Jalan Kelupu, Jalan KJD, Jalan Bakong, Jalan Kilang, Taman Bintang dan beberapa kawasan perumahan sekitar,” katanya.
Katanya, pelaksanaan operasi merangkumi rondaan berkereta, sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan mengejut di simpang Jalan Kelupu/Jalan Bakong.
Oleh Earl Anek




