KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk memulakan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakannya pada 26 Februari, dalam usaha melindungi penduduk daripada jangkitan Covid-19.
Penghantaran pertama vaksin dijadualkan tiba pada 21 Februari. Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin itu pada 26 Februari, bersama-sama petugas barisan hadapan, di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung sehingga Februari tahun depan.
Beliau menjelaskan proses berkenaan semasa melancarkan Buku Panduan mengenai program imunisasi itu yang menerapkan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat. Buku panduan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua, boleh dimuat turun menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my.
Buku panduan itu memperincikan program imunisasi berkenaan dan akan menjadi sumber rujukan kepada penggubal dasar dan pelaksana serta rakyat, kata beliau.
“Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Februari 2021.
“Selanjutnya, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Februari 2021, yang mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan,” kata perdana menteri semasa melancarkan buku panduan itu secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.
Muhyiddin berkata program imunisasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 22 Feb tahun depan dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021, fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 dan fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.