
SIBU: Sebanyak 5,000 botol minyak masak dua kilogram (kg) diagihkan kepada pengundi wanita di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Assek bermula hari ini hingga 20 Mac ini sempena sambutan Hari Wanita Antarabangsa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Assek, Joseph Chieng berkata, pengundi wanita yang layak boleh menebus sumbangan tersebut di Pusat Khidmat Bukit Assek mengikut tarikh dan waktu yang ditetapkan.
“Pada 28 Februari (Sabtu), 1 Mac (Ahad), 7 Mac (Sabtu) dan 8 Mac (Ahad), waktu pengagihan adalah dari 8.30 pagi hingga 2.30 petang.
“Pada tarikh lain, pengagihan akan dijalankan mengikut waktu pejabat biasa iaitu 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari dan 2.00 petang hingga 4.30 petang,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Program tahunan anjuran Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bukit Assek bersama Pusat Khidmat Bukit Assek itu, jelasnya, bertujuan untuk memberi manfaat kepada lebih ramai wanita serta membantu meringankan kos sara hidup harian.
Menurut Chieng, setiap penerima yang layak berhak menerima satu botol minyak masak berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat, selagi stok masih ada, dan pendaftaran awal tidak diperlukan.
“Pengundi wanita DUN N.51 Bukit Assek sama ada berkahwin atau bujang perlu hadir sendiri untuk mengambil barangan berkenaan dan wakil tidak dibenarkan.
“Penerima juga perlu menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan,” tambahnya.
Turut hadir Pengerusi SUPP Cawangan Bukit Assek Dato Chieng Buong Toon dan Ketua Bahagian Wanita SUPP Cawangan Bukit Assek Kapitan Sii Leh Hung.
Oleh Tarani Lanting