500 tan metrik kelapa dibawa masuk setiap bulan bermula Februari

Facebook
WhatsApp
GAMBAR hiasan.

PUTRAJAYA: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) menganggarkan sebanyak 500 tan metrik kelapa akan dibawa masuk ke Semenanjung setiap bulan, bermula Februari.

KPKM dalam satu kenyataan memaklumkan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), mengambil langkah proaktif bagi menangani isu kekurangan bekalan kelapa di pasaran dengan meningkatkan pembelian kelapa tua dari Indonesia.

Menurut kenyataan itu langkah tersebut diambil bagi memastikan bekalan mencukupi untuk kegunaan domestik terutama menjelang musim perayaan.

“Pada masa ini, FAMA sedang dalam proses perundingan dengan pembekal baru dan perundingan peningkatan pembelian dengan pembekal sedia ada di Indonesia,” menurut kenyataan KPKM itu.

Di samping itu, KPKM memaklumkan usaha mengenal pasti kawasan baharu pengeluaran kelapa sedang diperluas dengan memberi perhatian kepada kawasan produktif di Sabah dan Sarawak.

“FAMA turut mengenal pasti kawasan pengeluaran kelapa di Sabah dan Sarawak untuk dibawa ke Semenanjung,” menurut kenyataan itu.

Dalam usaha memperkukuh industri itu, KPKM memaklumkan pihaknya bersama Kementerian Pertahanan melalui pelaksanaan Projek AgroDefence akan memfokuskan penanaman kelapa pada tanah milik Kementerian Pertahanan, yang berpotensi untuk dibangunkan dengan penanaman kelapa.

Kenyataan itu memaklumkan projek itu akan memanfaatkan tanah yang tidak digunakan secara optimum untuk pertanian bagi meningkatkan pengeluaran domestik kelapa.

Pada masa sama, KPKM turut mengalu-alukan penyertaan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan sektor swasta untuk menceburi industri berkenaan.

“Selain itu, para petani dan usahawan yang berminat untuk mengusahakan tanaman kelapa boleh berbuat demikian dengan menghubungi Jabatan Pertanian untuk khidmat nasihat teknikal berkaitan,” menurut kenyataan itu.

KPKM juga menyeru semua pekebun kecil kelapa di semua daerah untuk menghantar dan mengumpulkan hasil tanaman kelapa di Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian yang dikelola FAMA dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di seluruh negara, bagi akses pasaran yang lebih luas dan menjamin harga jualan yang kompetitif bagi pekebun kecil. – Bernama

Nanta kecewa 17 kerusi DUN baharu mungkin tidak sempat digunakan PRN akan datang

PETRA JAYA: Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS), Dato Sri Alexander Nanta Linggi kecewa kelewatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan proses persempadanan semula membabitkan 17 kerusi baharu Dewan Undangan Negeri (DUN). Menteri Kerja Raya itu berkata, berikutan itu kemungkinan besar 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang. “Penambahan 17 kerusi baharu ini bukan sahaja penting untuk digunakan pada PRN akan datang, malah menjadi asas kepada usaha memperkukuh kedudukan Sarawak di Parlimen menerusi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Pertambahan kerusi DUN itu mempunyai implikasi besar terhadap usaha Sarawak dan Sabah mendapatkan semula satu pertiga perwakilan di Dewan Rakyat bagi melindungi kepentingan kedua-dua wilayah. “Apabila kita mempunyai sedikit lebih daripada satu pertiga kerusi, sebarang pindaan Perlembagaan atau undang-undang yang melibatkan kepentingan Sarawak dan Sabah tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Ahli Parlimen dari kedua-dua wilayah ini. “Itulah implikasi besar penambahan kerusi ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Hari Integriti dan Kecemerlangan Industri Pembinaan Sarawak 2026 (IECONS 2026) di Pusat Konvensyen Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), di sini, hari ini. Laporan Utusan Sarawak hari ini memetik sumber sebagai berkata bahawa SPR belum lagi menetapkan tarikh sebenar untuk mempamerkan cadangan peta persempadanan semula kawasan DUN Sarawak meskipun telah memohon untuk menggunakan ruang di pejabat majlis perbandaran dan pejabat daerah bagi tujuan itu menerusi surat bertarikh 25 Jun lalu. Sidang Khas DUN pada 7 Julai tahun lalu meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Dewan Undangan Negeri (Komposisi Keanggotaan) 2025 yang memperuntukkan penambahan sebanyak 17 kerusi baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kerusi DUN Sarawak meningkat daripada 82 kepada 99 – terbesar berbanding negeri lain di Malaysia. Nanta bersetuju dengan pandangan Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bahawa proses persempadanan semula oleh SPR dimulakan terlalu lewat, sekali gus menimbulkan kemungkinan 17 kerusi baharu itu tidak sempat digunakan pada PRN akan datang. “Saya bersetuju dengan pandangan Dato Sri Abdul Karim kerana nampaknya proses itu tidak sepatutnya ditangguhkan sehingga ke tahap ini. “Implikasinya bukan sekadar kita mahu pertambahan 17 kerusi itu, tetapi lebih penting ia menjadi asas untuk meningkatkan jumlah kerusi DUN daripada 82 kepada 99 sebelum kita menambah lagi kawasan Parlimen pada masa hadapan,” katanya. Beliau berkata, harapan sebelum ini ialah supaya 17 kerusi baharu itu dapat digunakan pada PRN akan datang sebelum dijadikan asas bagi pertambahan kerusi Parlimen pada masa depan. “Namun nampaknya kita mungkin tidak dapat menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya negeri akan datang,” katanya. Mengulas tempoh lebih setahun yang diambil SPR untuk memulakan proses persempadanan semula selepas usul penambahan kerusi diluluskan DUN Sarawak, Nanta berkata beliau tidak mahu membuat spekulasi mengenai punca kelewatan tersebut. “Kita tidak tahu proses yang perlu mereka lalui, tetapi dalam tempoh lebih setahun itu sepatutnya ia boleh diselesaikan. “Di mana berlakunya kelewatan itu saya tidak mahu membuat spekulasi. Harapan kita memang mahu menggunakan 17 kerusi itu pada pilihan raya akan datang, namun nampaknya ia mungkin tidak menjadi kenyataan,” katanya. Sementara itu, mengulas cadangan mewujudkan kerusi DUN Melekun di bawah Parlimen Kapit, Nanta berkata beliau mengalu-alukan bukan sahaja cadangan tersebut, malah keseluruhan 17 kerusi baharu yang dicadangkan. “Bukan hanya Melekun, saya mengalu-alukan kesemua 17 kerusi itu jika dapat diwujudkan. “DUN Sarawak telah meluluskan usul berkenaan dan kini cadangan itu perlu melalui proses seterusnya di peringkat Persekutuan sebelum dapat dilaksanakan,” katanya. Beliau bagaimanapun enggan mengulas mengenai senarai penuh cadangan kawasan baharu yang tular kerana belum melihat dokumen berkenaan.