CHERYL LAW
KUCHING: Lebih 500 sukarelawan di seluruh Sarawak telah bergabung tenaga menghasilkan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) bagi kegunaan petugas kesihatan barisan hadapan dalam mengawal penularan wabak Covid-19.
Di samping itu, para sukarelawan turut melaksanakan tanggungjawab dengan mengagihkan makanan kepada keluarga yang memerlukan dalam usaha memastikan kebajikan golongan yang tidak bernasib baik.
Dianggarkan lebih 15,000 PPE telah digunakan dan dilupuskan setiap hari di Hospital Umum Sarawak dan pusat rawatan COVID-19 yang lain.
Ini merangkumi pelindung muka, penutup hidung dan muka N95, sarung tangan, penutup kepala, sarung kasut dan pakaian penutup yang keseluruhannya memerlukan penambahan semula.
Justeru, bagi memenuhi kekurangan PPE, para sukarelawan #JagaSamaDirik menghasilkan PPE daripada mesin pencetak 3D, sarung kepala, sarung kasut dan pakaian penutup keseluruhan kepada petugas barisan hadapan khususnya petugas kesihatan yang berhadapan dengan pesakit Covid-19.
Jurucakap sukarelawan, Hazwan Razak berkata, pihaknya berterusan menghasilkan PPE yang boleh diguna pakai dan membangunkan peralatan perubatan kecemasan.
Katanya, kesemua PPE diagihkan kepada semua pusat rawatan Covid-19 yang mengemukakan permintaan seperti hospital, pusat saringan serta klinik kerajaan.
“Sehingga kini, lebih daripada 30,000 PPE telah dihasilkan dan diagihkan yang mana pembuatan masih lagi berjalan bagi memastikan petugas kesihatan barisan hadapan disokong sepenuhnya dalam merawat pesakit COVID-19,” jelasnya.
Hazwan menambah, “#JagaSamaDirik adalah gerakan akar umbi tanpa berkepentingan peribadi bertujuan membantu petugas barisan hadapan dan masyarakat setempat, terdiri daripada golongan pengamal teknologi dan pencipta di seluruh Sarawak.
Ujarnya lagi, ia telah berkembang merangkumi pelbagai organisasi, perusahaan perniagaan, universiti dan individu, dengan matlamat sama iaitu mewujudkan kesan yang positif.
“Kami mengalu-alukan usaha daripada pelbagai lapisan masyarakat terutamanya beraspirasi untuk berkhidmat dan kepintaran dalam menggunakan teknologi bagi menambah baik penyelarasan serta memberikan impak yang lebih besar dalam mendukung petugas barisan hadapan kita dan rakan-rakan kita di Sarawak,” tegas beliau.
Untuk itu, kata Hazwan, para sukarelawan telah memulakan kutipan derma makanan dan mengagihkan kepada keluarga yang memerlukan yang bertujuan membentuk masyarakat yang prihatin di Sarawak.
“Kami #JagaSamaDirik menggalakkan orang ramai untuk menyumbang makanan kering seperti beras, minyak masak, biskut, mi segera, susu bayi atau kanak-kanak, makanan dalam tin, kain lampin, garam mahupun gula.
“Sumbangan makanan ini akan dibungkuskan sebagai Pakej Penyayang dan diagihkan oleh para sukarelawan kepada keluarga yang memerlukan,” tambahnya.
Katanya, #JagaSamaDirik beroperasi sementara di SMA Creative Heritage Innovation Centre (CHIC) di Kuching dan juga beberapa lokasi khas di Sibu, Bintulu dan Miri.
“Orang ramai digalakkan untuk menghantar sumbangan mereka dalam bentuk makanan atau PPE ke lokasi yang berdekatan bermula Jam 9.00 pagi hingga 3.00 petang pada setiap hari.
“Selain itu, bagi yang ingin menjadi sukarelawan boleh menyumbang tenaga dengan membungkus makanan, sumbangan dana (melalui Persatuan Bekas Pelajar St. Mary) untuk membeli makanan dan alatan PPE, atau apa jua cara yang boleh membantu masyarakat.
“Sebagai alternatif, orang ramai turut digalakkan menyumbang PPE seperti pelindung muka daripada mesin pencetak, penutup hidung dan mulut atau helaian lutsinar saiz A4 kepada gerakan #JagaSamaDirik,” ujar beliau.
Segala permohonan untuk kutipan derma makanan dan bahan pembuatan asas untuk menghasilkan set PPE boleh dibuat melalui aplikasi sesawang #JagaSamaDirik, www.jagasamadirik.org.