500 permohonan baharu PBB Krian dalam tempoh kurang sebulan

Facebook
WhatsApp
PENYERAHAN borang permohonan keahlian baharu itu disampaikan oleh Laga Biju (kanan) kepada Timbalan Ketua Cawangan PBB Krian, Edmund Uda. Foto: PBB Krian

SARATOK: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Krian menerima lebih 500 permohonan keahlian baharu dalam tempoh kurang daripada sebulan, sekali gus memperlihatkan perkembangan positif terhadap sokongan masyarakat di kawasan berkenaan.

Jumlah tersebut dilihat sebagai petunjuk peningkatan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan serta hala tuju perjuangan PBB dalam membawa agenda pembangunan dan memperjuangkan kepentingan rakyat Sarawak.

Penyerahan borang permohonan keahlian baharu itu disampaikan oleh Laga Biju kepada Timbalan Ketua Cawangan PBB Krian, Edmund Uda, sebagai simbolik penerimaan penyertaan ahli baharu ke dalam parti.

Ketua Cawangan PBB Krian, Bell Bernard Aggan berkata, perkembangan tersebut merupakan satu petanda positif yang menunjukkan semakin ramai masyarakat percaya terhadap perjuangan parti.

KETUA Cawangan PBB Krian…Bell Bernard Aggan.

Menurutnya, keyakinan itu turut berkait rapat dengan usaha PBB memperjuangkan pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat di seluruh Sarawak, termasuk di kawasan luar bandar.

Beliau berkata, penyertaan ahli baharu juga dipengaruhi oleh keyakinan masyarakat terhadap kepimpinan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang dilihat membawa visi strategik serta pendekatan progresif dalam membangunkan negeri.

“Mereka berminat untuk menyertai PBB kerana melihat kepimpinan Premier Sarawak yang mempunyai visi strategik serta pendekatan progresif dengan memberi tumpuan kepada pembangunan inklusif dan lestari,” katanya.

Bell berkata, pelbagai agenda besar kerajaan Sarawak termasuk memperkasakan ekonomi digital, pembangunan tenaga hijau, industri hidrogen dan ekonomi karbon turut menjadi antara faktor yang meningkatkan keyakinan rakyat terhadap masa depan negeri.

Katanya, usaha mempercepatkan pembangunan infrastruktur serta memperkukuhkan sektor pendidikan juga membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan asas kukuh untuk pertumbuhan Sarawak dalam jangka panjang.

“Penerimaan lebih 500 permohonan keahlian baharu ini merupakan satu amanah besar kepada PBB Cawangan Krian untuk terus memperkukuhkan gerak kerja akar umbi dan memastikan parti sentiasa dekat dengan masyarakat,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada semua penduduk Krian yang memilih untuk bersama-sama menyertai PBB serta memberikan kepercayaan kepada kepimpinan parti.

Bell menegaskan bahawa kepercayaan tersebut bukan sekadar satu bentuk sokongan, sebaliknya merupakan tanggungjawab kepada kepimpinan cawangan untuk terus bekerja, mendengar suara rakyat dan memberikan khidmat terbaik.

Dalam masa sama, PBB Cawangan Krian akan terus mempergiatkan pendekatan turun padang bagi memahami keperluan masyarakat serta memastikan setiap aspirasi rakyat diberikan perhatian sewajarnya.

“Sokongan yang diterima ini menjadi pembakar semangat untuk kami meneruskan perjuangan bersama rakyat dengan semangat perpaduan, kestabilan dan tanggungjawab,” katanya.

Turut hadir pada majlis berkenaan, Setiausaha Cawangan PBB Krian, Leonard Jambu; Ketua Pemuda, Mandie Garan; serta Ahli Jawatankuasa Cawangan, Kaunselor Peter Elin.

Oleh Adi Safarman