
MIRI: Seramai 500 pelajar menyertai Program Bengkel SPM Skor ‘A’ Pendidikan Moral 2025 yang diadakan di sini hari ini.
Program anjuran bersama beberapa agensi pendidikan itu dirasmikan oleh Ahli Parlimen Miri, Chiew Choon Man, yang turut menyampaikan ucapan kepada para peserta.
Menurut beliau, sambutan luar jangka terhadap bengkel berkenaan telah mendorong penganjur untuk mengadakannya dalam dua sesi berasingan bagi menampung jumlah peserta yang ramai.
“Bengkel ini menampilkan tenaga pengajar berpengalaman yang berkongsi teknik menjawab soalan dengan tepat dan berkesan, khususnya bagi mata pelajaran Pendidikan Moral.
“Melalui pendedahan ini, para pelajar bukan sahaja dapat memahami strategi memperoleh keputusan cemerlang, malah dapat meningkatkan keyakinan diri menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM),” katanya.
Dalam pada itu, Chiew turut menzahirkan komitmen untuk terus memperluaskan penganjuran program pendidikan di kawasan Parlimen Miri, dengan memberi fokus kepada dua aspek utama.
“Pertama, membantu pelajar mencapai keputusan cemerlang dan memperoleh gred A dalam mata pelajaran terpilih.
“Kedua, menyediakan program motivasi dan bimbingan untuk membantu pelajar lulus SPM, terutama dalam subjek mencabar seperti Bahasa Melayu dan Sejarah,” jelasnya.
Tambah beliau, usaha berterusan ini dijangka mampu meningkatkan prestasi akademik pelajar dan menyemai semangat pembelajaran yang positif serta menyeluruh.
“Terima kasih kepada para guru, ibu bapa dan semua pihak yang sentiasa menyokong inisiatif pendidikan demi masa depan generasi muda kita,” katanya.
Oleh Liong Chai Ling