
SARATOK: Seramai 500 pelajar daripada enam sekolah menengah di daerah ini bakal menyertai Jerayawara Kolej Universiti i-CATS Daerah Saratok yang akan berlangsung pada 13 Jun nanti di Dewan Terbuka Sri Kalaka Saratok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri berkata, program tersebut merupakan usaha memperkukuhkan hubungan antara institusi pengajian tinggi dan komuniti setempat khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.
Menurut beliau, enam sekolah yang akan terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Saratok, SMK Bahasa Malaysia Saratok, Kolej Tingkatan Enam Saratok, SMK Kalaka, SMK Kabong dan SMK Agama Saratok.
Katanya, Jerayawara Kolej Universiti i-CATS yang pertama telah diadakan di Gedong pada April lalu dan Daerah Saratok dipilih sebagai lokasi kedua penganjuran program berkenaan.
“Saya difahamkan beberapa aktiviti dan pengisian program akan memeriahkan Jerayawara Kolej Universiti i-CATS Saratok kali ini termasuk taklimat daripada Yayasan Sarawak berkaitan bantuan yang akan ditawarkan kepada anak Sarawak,” katanya.
Beliau berkata, pengunjung turut berpeluang menyaksikan pameran fakulti, demonstrasi projek pelajar serta pameran teknologi melibatkan peralatan robotik dan aeroangkasa yang dibangunkan oleh pelajar institusi berkenaan.
Mohamad Duri turut menggesa pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) agar merebut peluang menghadiri program tersebut kerana ia memberi pendedahan mengenai pendidikan tinggi serta laluan kerjaya kepada golongan belia di kawasan luar bandar.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Cawangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kalaka, Kaunselor Kasdi Pandi hadir mewakili ADUN Kalaka ke Mesyuarat Persediaan Jerayawara Kolej Universiti i-CATS Daerah Saratok yang dipengerusikan oleh Pegawai Daerah Saratok, Mohammad Dino Amid.
Program anjuran Kolej Universiti i-CATS itu dilaksanakan dengan kerjasama Pejabat Daerah Saratok dan Pusat Khidmat ADUN Kalaka bagi mengeratkan hubungan universiti dengan masyarakat setempat serta memberi pendedahan mengenai peluang pengajian, laluan pendidikan dan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Selain itu, program tersebut turut menampilkan taklimat mengenai Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES), demonstrasi kulinari inovasi makanan oleh pelajar i-CATS serta kaunter pertanyaan dan pendaftaran kemasukan ke Kolej Universiti i-CATS.
Oleh Adi Safarman