Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • INSPIRASI
  • 50 tahun sejak wanita pertama tawan Everest
  • INSPIRASI

50 tahun sejak wanita pertama tawan Everest

Utusan Sarawak 8 hours ago
GAMBAR ini yang diambil pada 26 April 2018 menunjukkan pemandangan umum Kem Asas Everest, kira-kira 140 kilometer ke timur laut Kathmandu. Foto AFP

PARIS: Pada 16 Mei 1975, Junko Tabei dari Jepun mencipta sejarah sebagai wanita pertama berjaya menawan puncak Gunung Everest. Lima puluh tahun kemudian, gunung tertinggi di dunia itu mencatatkan pendakian ke-seribu oleh seorang wanita.

Pendakian ke puncak setinggi 8,849 meter (29,032 kaki) itu masih didominasi oleh lelaki. Sehingga Mei 2025, wanita telah menawan puncak sebanyak 962 kali, manakala lelaki mencatatkan 11,955 pendakian, menurut analisis AFP berdasarkan data Himalayan Database.

JUNKO Tabei dari Jepun (gambar fail), wanita pertama di dunia yang berjaya menawan puncak Gunung Everest pada 16 Mei 1975, bercakap dalam satu temu bual bersama Agence France-Presse di Tokyo, pada 16 Mei 2003. Foto AFP

“Saya Tidak Mahu Dihadkan”

Apabila Tabei sampai ke puncak pada 1975, seramai 38 lelaki telah mendahuluinya. Bersama pasukan pendaki wanita sepenuhnya, beliau berdepan kesukaran mendapatkan penaja, malah sering diberitahu bahawa wanita lebih baik tinggal di rumah menjaga anak.

“Semua lelaki menghadkan minat kami dan saya tidak mahu dihadkan,” tulis Tabei dalam buku catatannya sekembalinya dari ekspedisi tersebut.

PENDAKI Nepal, Lhakpa Sherpa, yang memegang rekod dunia sebagai wanita dengan jumlah pendakian paling banyak ke puncak Gunung Everest — sebanyak tujuh kali — bergambar bersama sijil Rekod Guinness miliknya di Kathmandu pada 27 Mei 2016. Foto AFP

Sebelas hari selepas kejayaan Tabei, seorang wanita Tibet, Phantog, turut menawan puncak dari laluan bertentangan. Beliau menyangka dirinya pendaki wanita pertama, namun hanya mengetahui tentang kejayaan Tabei setelah kembali ke bawah.

Dalam catatan peribadinya, Tabei menyenaraikan matlamat seterusnya: mendaki K2, gunung kedua tertinggi di dunia, dan kembali bekerja di sebuah jurnal saintifik.

Jurupandu Sherpa Wanita Masih Kurang

Sejak itu, seramai 870 wanita dari 85 negara telah mendaki Everest, dengan sebahagian daripada mereka melakukannya berulang kali.

Selepas Nepal, Amerika Syarikat, India dan China merupakan negara yang paling ramai menghantar pendaki lelaki dan menyumbang 39 peratus daripada jumlah pendaki wanita.

GAMBAR yang diambil pada 4 Januari 2018 ini menunjukkan pemandu gunung dari Nepal, Dawa Yangzum Sherpa, sedang memeriksa peralatan mendaki di Kathmandu. Foto AFP

Jurupandu Sherpa dari Nepal yang memainkan peranan penting dalam setiap pendakian ke puncak masih majoritinya lelaki.

Walaupun Nepal menyumbang separuh daripada pendakian oleh lelaki, hanya sembilan peratus pendakian wanita datang dari negara itu, melibatkan 66 wanita dengan 90 pendakian.

Dawa Yangzum Sherpa, yang menawan puncak pada 2012, kini satu-satunya wanita Nepal yang memiliki sijil jurupandu profesional dengan pengiktirafan antarabangsa yang diterima pada 2018.

“Bidang ini sangat mencabar, terutamanya bagi wanita. Ada yang berkata kerja ini bukan untuk perempuan dan saya tidak akan mendapat peluang kerja,” katanya kepada AFP.

PENDAKI British, Kenton Cool (kiri), yang telah menawan puncak Gunung Everest (8,849 meter) buat kali ke-17 — jumlah pendakian tertinggi oleh bukan warganegara Nepal — melambai tangan sebaik tiba di lapangan terbang di Kathmandu pada 19 Mei 2023. Foto AFP

Sebelum beliau, Pasang Lhamu menjadi wanita Nepal pertama sampai ke puncak pada 1993. Ketika menuruni gunung, beliau kekal bersama rakan yang mengalami masalah kekurangan oksigen dan kedua-duanya meninggal dunia akibat keletihan.

Kini, beliau dianggap sebagai wira negara dan laluan dari Kem Asas Everest bermula dengan gerbang penghormatan khas untuknya.

Penggantinya, Lhakpa Sherpa, wanita Nepal kedua menawan puncak pada 2000, kini memegang rekod pendakian wanita terbanyak dengan 10 kali pendakian setakat Mei lalu.

Tanpa Bantuan Oksigen

Tiga belas tahun selepas Tabei, Lydia Bradey dari New Zealand mencatat sejarah sebagai wanita pertama yang sampai ke puncak tanpa bantuan oksigen pada 1988.

Mendaki secara solo, rakan-rakan ekspedisinya telah kembali ke Kathmandu dan secara terbuka meragui kejayaannya.

Berhadapan risiko tindakan kerana menggunakan laluan yang tidak dibenarkan dalam permit, Bradey memilih untuk tidak membuat tuntutan rasmi di Kementerian Pelancongan Nepal. Namun, pencapaiannya diiktiraf secara rasmi beberapa tahun kemudian.

Hanya 229 pendakian – kurang daripada satu peratus – berjaya tanpa oksigen. Bradey adalah antara 10 wanita yang berjaya melakukannya.

Wanita Lebih Bersedia

“Mendaki tanpa oksigen sangat berbeza. Mungkin wanita lebih peka terhadap risikonya,” kata Pengarah Himalayan Database Billi Bierling dari Jerman, yang menjejaki semua ekspedisi Everest, kepada AFP.

“Wanita biasanya lebih bersedia. Mereka juga lebih berhati-hati. Jika mereka rasa keadaan terlalu berbahaya, mereka sanggup berundur. Lelaki pula mungkin tetap akan teruskan,” kata Bierling, yang menawan Everest pada 2009.

Setiap tahun, sekitar 100 wanita mencuba menawan puncak dan kadar kejayaan mereka adalah 66 peratus, berbanding 75 peratus bagi lelaki. Namun, kadar kematian wanita adalah lebih rendah – seorang wanita meninggal setiap 153 percubaan, berbanding seorang lelaki setiap 70 percubaan.

Walaupun wanita masih merupakan golongan minoriti di puncak Everest, nisbah mereka semakin meningkat: satu wanita bagi setiap 16 lelaki pada 2000-an, kini menjadi satu bagi setiap 10 lelaki.

“Saya kini mengenali ramai wanita yang belum berkahwin, tiada anak dan memiliki pendapatan sendiri – ini membolehkan mereka mengejar impian mendaki gunung setinggi 8,000 meter,” kata Bierling.

Kos untuk menawan puncak Everest kini dianggarkan antara AS$45,000 hingga AS$200,000. – AFP

Tags: inspirasi

Continue Reading

Previous: Tan Sri Dato Sri Empiang Jabu inspirasi wanita Sarawak

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.