
BINTULU: Seramai 50 pelajar yang akan melanjutkan pengajian tinggi menerima Bantuan Ace Didik sebagai sokongan awal untuk menampung keperluan persekolahan dan persediaan menghadapi semester baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Iskandar Turkee berkata, inisiatif itu memberi manfaat menyeluruh kerana membolehkan pelajar menumpukan sepenuhnya kepada pengajian, seterusnya melahirkan modal insan berkualiti yang menyokong Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030 (PCDS 2030).
Majlis penyampaian bantuan tersebut berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat N.67 Jepak, di sini, hari ini
“Banyak peluang bantuan diberi kerajaan Sarawak untuk memastikan modal insan, terutamanya anak-anak negeri, mampu menimba ilmu dan kemahiran, seterusnya memperoleh pekerjaan dan membantu mengubah kehidupan keluarga.
“Jadi, anak-anak semua jangan sia-siakan apa yang pemimpin kita usahakan.
“Dengan pendidikan percuma ini, ambil peluang sebaiknya. Jangan malas menimba ilmu,” katanya.
Bantuan ini merupakan antara inisiatif kerajaan negeri dalam menyokong anak-anak Sarawak untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi, khususnya bagi meringankan beban kewangan keluarga.
Oleh Carolyne Utih