
SARIKEI: Sebanyak 50 badan bukan kerajaan (NGO) dari kawasan Repok menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) bagi menyokong aktiviti tahunan mereka.
Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok, Datoʼ Sri Huang Tiong Sii berkata, MRP tersebut diberikan bagi memastikan setiap penerima dapat melaksanakan program yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.
“Hari ini, saya telah menyerahkan peruntukan MRP kepada 50 NGO bagi kawasan Repok.
“Diharapkan peruntukan ini dapat membantu mereka menjalankan aktiviti dengan lebih sistematik dan berkesan,” katanya.
Tiong Sii berkata demikian ketika ditemui media selepas menyampaikan peruntukan MRP di Pusat Khidmat Wakil Rakyat Sarikei, baru-baru ini.
Beliau turut menasihatkan para penerima agar menggunakan peruntukan tersebut dengan penuh bertanggungjawab dan berhemah supaya manfaatnya dapat dinikmati secara optimum.
“Saya berharap peruntukan MRP ini digunakan dengan baik dan memberi impak positif kepada pendidikan serta kebajikan masyarakat di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambahnya, kerajaan tidak pernah menganaktirikan mana-mana NGO.
“Sebaliknya, peranan setiap NGO sentiasa diiktiraf oleh kerajaan.
“NGO merupakan rakan strategik kerajaan dalam menangani pelbagai isu dan cabaran di hadapi oleh setiap lapisan masyarakat.
“Saya sentiasa terbuka untuk mendengar pandangan serta berkerjasama dengan NGO pada masa akan datang,” katanya.
Oleh Earl Anek