
SIBU: Sebanyak 50 kontinjen membabitkan sekitar 5,000 peserta dijangka menyertai acara perarakan dan perhimpunan sempena sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu di Dataran Tun Tuanku Bujang di sini pada 6 September ini.
Residen Bahagian Sibu Abang Mohamad Porkan Abang Budiman berkata kontinjen berkenaan mewakili jabatan dan agensi kerajaan, badan berkanun, sekolah, institusi pengajian tinggi, masjid, surau, firma swasta, institusi kewangan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Beliau berkata Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu selaku penganjur turut mempelawa penyertaan kontinjen jemputan mewakili Persatuan Iban, Cina, India, Orang Ulu dan Punan di seluruh bahagian berkenaan.
“Peserta daripada persatuan berkenaan akan turut mengenakan pakaian tradisional masing-masing,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu hari ini.
Beliau berkata perarakan pada tahun ini akan melalui pusat bandar Sibu iaitu bermula dari Dataran Tun Tuanku Bujang, Jalan Bujang Suntong, Jalan Pulau, Jalan Tukang Besi, Jalan Central, Jalan Kampung Nyabor, Jalan Bujang Suntong dan kembali semula ke Dataran Tun Tuanku Bujang melibatkan jarak 3.2 kilometer.
Abang Mohamad Porkan berkata turut diadakan sempena sambutan itu ialah pertandingan sepanduk, perarakan, kontinjen teramai, pesona busana atau pakaian beragam, dengan hadiah keseluruhan berupa wang tunai RM18,000, 48 piala serta empat hamper.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perayaan Islam Bahagian Sibu berkata tetamu kehormat pada sambutan itu yang akan bermula seawal 6.00 pagi ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Sarawak Datuk Dr Annuar Rapaee.
“Saya menggesa seluruh warga Sibu agar bersama-sama memeriahkan majlis sambutan Maulidur Rasul Peringkat Bahagian Sibu pada tahun ini. Marilah kita jadikan sambutan ini sebagai wadah mempereratkan ukhuwah, menzahirkan kecintaan kita kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW serta memperkukuh perpaduan dalam kalangan masyarakat tidak mengira agama, kaum dan fahaman politik,” katanya.
Selain itu, Abang Mohamad Porkan berkata seluruh masyarakat Islam turut dijemput menghadiri program ceramah Maulidur Rasul yang akan diadakan di masjid dan surau di sekitar Sibu. – Bernama