LAWAS: Seramai 50 jemaah yang mengerjakan Solat Jumaat di Masjid Darul Ma’amur Lawas semalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan sosial.
Ke semua 50 jemaah yang terawal hadir ke masjid daerah dibenarkan menunaikan solat turut menulis nama, memakai pelitup mulut serta melakukan pemeriksaan suhu sebelum memasuki masjid.
Pihak Polis dan anggota RELA dilihat mengawal pintu masuk utama masjid dan pemeriksaan suhu badan dilakukan oleh jawatan kuasa masjid bersama dengan pendaftaran jemaah yang hadir.
Keputusan Sarawak membenarkan solat Jumaat masjid dan surau seluruh negeri mulai semalam dengan jumlah jemaah yang dihadkan dibuat selepas Kerajaan Pusat mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) .
Sementara itu di Limbang, Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) Bahagian Limbang turut membuat pemantauan di semua masjid dan surau bagi memastikan SOP dipatuhi.
Pegawai Agama Islam Bahagian Limbang Ustaz Awang Abdul Rahim Awang Rosely berkata setakat ini jemaah yang menunaikan Solat Jumaat semalam mematuhi SOP yang ditetapkan.
Bagaimanapun katanya terdapat surau yang belum beroperasi kerana perlu menyediakan peralatan dan kemudahan untuk mematuhi SOP yang ditetapkan seperti menyediakan alat pengimbas suhu sebelum aktiviti berjemaah dan solat lima waktu dilakukan di surau.
Bagaimanapun bagi surau yang sudah beroperasi JAIS meminta agar kadar pematuhan SOP dipertingkatkan lagi termasuk memakai pelitup mulut dan sebagainya.
Sebelum ini JAIS turut mengeluarkan garis panduan bagi umat Islam yang menunai solat di masjid serta surau antaranya jemaah hendaklah mengambil wuduk di rumah sebelum pergi ke masjid atau surau, membawa sejadah sendiri atau alas sujud dan menggunakan pelitup muka sepanjang berada di masjid atau surau.
Pada masa yang sama, ramai jemaah yang terlepas daripada menunaikan solat Jumaat minggu ini berharap pihak JAIS dapat memberi kelonggaran jumlah jemaah mengikut keluasan masjid.
Bagi Masjid Besar Darul Ma’amur Lawas, jumlah jemaah yang mampu di muatkan mengikut penjarakan dan SOP adalah lima ratus orang untuk tingkat bawah dan dua ratus orang di tingkat atas.
Oleh Adeng Edrus