KUCHING: Lima Menteri Persekutuan dari Sarawak akan berjumpa dengan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara yang harus ditumpukan mereka untuk negeri ini.
Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof berkata perjumpaan yang akan diadakan hari ini juga bertujuan untuk mereka memahami situasi terkini negeri itu.
Beliau yang ditugaskan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak akan membincangkan mengenai isu-isu berkaitan Perjanjian MA63 dengan Abang Johari.
Fadillah berkata beliau juga telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali supaya mendapatkan input daripada kerajaan Sabah mengenai perkara sama.
“Perkara-perkara berbangkit (mengenai MA63) yang boleh kita selesaikan dalam masa sebulan kita cuba selesaikan segera.
“Mungkin ada juga beberapa perkara yang perlu dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan, kita akan bawa (bentang) ke Dewan Rakyat,” katanya ketika ditemui pemberita di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini hari ini.
Selain Fadillah, empat lagi menteri dari Sarawak ialah Dato Sri Alexander Nanta Linggi yang dilantik Menteri Kerja Raya, Dato Sri Tiong King Sing (Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya), Dato Sri Nancy Shukri (Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan Datuk Aaron Ago Dagang (Menteri Perpaduan Negara).
Pada 5 Disember lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Fadillah dipertanggungjawabkan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak terutamanya Perjanjian MA63.
Fadillah juga berperanan memastikan jurang ekonomi antara rakyat di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak akan dikurangkan.
— BERNAMA