PUTRAJAYA: Seramai 4,907 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi daripada 4,914 pegawai lantikan kontrak yang ditawarkan lantikan tetap telah melengkapkan urusan setuju terima melalui Sistem Tawaran Pelantikan Tetap (mySTP) Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), manakala tujuh lagi telah menolak, kata Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa.
Sebanyak 4,914 pegawai perubatan, pergigian dan farmasi lantikan kontrak telah ditawarkan pelantikan tetap oleh SPA selaras dengan kekosongan jawatan pada 2023, yang merangkumi 4,263 pegawai perubatan, 335 pegawai pergigian dan 316 pegawai farmasi.
Dr Zaliha dalam kenyataan hari ini berkata kesemua pegawai yang ditawarkan pelantikan tetap itu dikehendaki membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eHousemen, eDentist dan ePharmacist.
Pegawai pergigian dan pegawai farmasi membuat pemilihan penempatan bertugas menerusi aplikasi eDentist dan ePharmacist mulai 6 hingga 8 Jun lepas, manakala pegawai perubatan pula membuat pemilihan penempatan secara berperingkat melalui aplikasi eHousemen dalam lima fasa pelaksanaan bermula 9 Jun lepas dan kini memasuki fasa kelima yang berakhir esok (24 Jun), katanya.
Beliau berkata hingga pelaksanaan fasa empat, seramai 3,405 pegawai perubatan telah memilih penempatan.
“Berdasarkan perjawatan yang disediakan bagi fasa satu hingga fasa empat, kesemua jawatan tetap di Semenanjung Malaysia telah dipilih sepenuhnya, manakala masih terdapat kekosongan jawatan di Sabah dan Sarawak yang tidak dipilih oleh pegawai.
“Oleh yang demikian, kesemua kekosongan jawatan ini akan ditawarkan kepada calon simpanan,” katanya.
Dr Zaliha berkata dalam urusan pengambilan tetap pada kali ini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah menerima lebih 1,000 rayuan daripada pegawai untuk dikekalkan di penempatan semasa.
Antara alasan yang diberikan ialah pegawai menghadapi masalah kesihatan diri dan keluarga; tidak bersetuju untuk berkhidmat di Sabah, Sarawak dan Labuan; penempatan menyebabkan pegawai terpaksa tinggal berjauhan dengan pasangan dan pegawai akan atau memulakan pengajian kepakaran, katanya.
Dr Zaliha berkata pelaksanaan pengambilan tetap itu menyebabkan pegawai lantikan kontrak yang tidak disandarkan atas jawatan sebelum ini perlu mengisi perjawatan tetap mengikut waran perjawatan berkuat kuasa, dan KKM menjangkakan akan berlaku kekurangan pegawai buat sementara di fasiliti kesihatan tertentu.
“Justeru, KKM telah menyediakan langkah penyelesaian bagi menangani isu tersebut antaranya menempatkan secara berperingkat pegawai perubatan yang menamatkan latihan siswazah ke fasiliti berkenaan mulai Julai 2023,” katanya.
Menurut Dr Zaliha, berdasarkan rekod KKM, seramai 3,226 pegawai perubatan akan menamatkan latihan siswazah atau khidmat wajib secara berperingkat mulai Jun hingga Disember 2023.
“Oleh yang demikian, seramai 675 pegawai perubatan akan diagihkan segera mulai Julai 2023, diikuti dengan seramai 1,150 pegawai lagi yang akan diagihkan pada Ogos 2023.
“Urusan seterusnya akan dilaksanakan sebaik sahaja pegawai menamatkan latihan atau khidmat wajib,” katanya. – Bernama