
KUCHING: Seramai 48 warga asing telah ditahan oleh Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuching atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 menerusi satu operasi penguatkuasaan yang dijalankan baru-baru ini.
Operasi tersebut melibatkan kekuatan seramai 28 pegawai dan anggota JIM yang telah menjalankan pemeriksaan terhadap 96 individu di beberapa lokasi sasaran sekitar bandar raya ini.

Antara lokasi yang diperiksa termasuk kawasan sekitar Pusat Komersial Kuching City Mall, Pusat Perniagaan Desa Ilmu serta beberapa premis makanan di Matang Hub yang dipercayai menggaji warga asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
Kesemua warga asing yang ditahan telah dibawa ke Pejabat Imigresen berhampiran bagi tujuan siasatan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Jabatan Imigresen Malaysia menegaskan bahawa operasi penguatkuasaan akan terus dipergiatkan dari semasa ke semasa bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen negara serta memelihara keselamatan dan ketenteraman awam.