48 wanita Rimbas Ulu dalami seni pembuatan dan ukiran sugu tinggi

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 48 wanita daripada Ranting PBB Rimbas Ulu telah menyertai Seni pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi di Rumah Jimmy, Ulu Bayor, Ulu Rimbas, hari ini. Foto: Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban

DEBAK: Program Kemahiran Kraf yang memberi tumpuan kepada seni pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi kembali dianjurkan semalam di Rumah Jimmy, Ulu Bayor, Ulu Rimbas, dengan penyertaan 48 wanita daripada Ranting Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Rimbas Ulu.

Program anjuran Pusat Khidmat ADUN Bukit Saban itu merupakan kesinambungan usaha memperluas peluang kepada golongan wanita untuk menguasai kemahiran kraf tradisional yang mempunyai nilai budaya dan warisan.

Pada masa sama, inisiatif berkenaan dilihat penting dalam memastikan seni warisan tempatan seperti Sugu Tinggi terus dipelihara serta diwariskan kepada generasi akan datang.

Ketua Wanita PBB Cawangan Bukit Saban, Natasha Nasa Uggah berkata, program tersebut memberi ruang kepada wanita mempelajari kemahiran baharu yang bukan sahaja mempunyai nilai budaya, malah berpotensi dikembangkan sebagai aktiviti menjana pendapatan.

“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada wanita mempelajari kemahiran baharu, tetapi turut membuka ruang untuk kita memastikan seni kraf tradisional seperti Sugu Tinggi terus hidup dan tidak hilang ditelan zaman,” katanya.

Menurutnya, kemahiran yang diperoleh menerusi latihan secara praktikal boleh menjadi asas kepada peserta untuk menghasilkan produk kraf dengan lebih kreatif, kemas dan berkualiti.

Natasha berkata, penguasaan kemahiran tersebut juga berpotensi membuka ruang kepada peserta untuk menghasilkan produk sendiri yang boleh dipasarkan, sekali gus membantu menambah pendapatan keluarga.

“Apabila kemahiran ini terus dipelajari dan dikembangkan, kita bukan sahaja memelihara warisan, tetapi memberi peluang kepada wanita menghasilkan produk sendiri yang boleh dipasarkan dan seterusnya membantu menambah pendapatan keluarga,” katanya.

Seramai 48 peserta mengikuti latihan secara praktikal di bawah bimbingan tenaga pengajar, Edika Jalin yang memberikan tunjuk ajar berkaitan teknik pembuatan dan ukiran Sugu Tinggi.

Pendedahan secara langsung itu membolehkan peserta mempelajari asas pembuatan dan ukiran dengan lebih dekat, selain memperhalusi teknik serta meningkatkan mutu penghasilan kraf masing-masing.

Penganjuran program secara berterusan di kawasan DUN Bukit Saban diharap dapat memperluas penyertaan wanita dalam bidang seni kraf, memperkukuh kelangsungan warisan tempatan.

Pada masa sama ia turut menggalakkan penghasilan produk kreatif yang berpotensi menyumbang kepada peningkatan sosioekonomi komuniti.

Oleh Adi Safarman