
SIBU: Seramai 48 orang kontraktor tempatan telah menyertai Program Jelajah Integriti anjuran Cawangan Integriti, Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di JKR Bahagian Sibu, semalam.
Ketua Penolong Pengarah Kanan Cawangan Integriti JKR, Wong Siu Ping menekankan objektif utama program ini adalah untuk memberi pendedahan kepada para kontraktor berkaitan peruntukan dalam Akta SPRM 2009, khususnya berkaitan salah laku, rasuah serta tatacara perolehan yang sah.
“Program ini bertujuan menggalakkan amalan tadbir urus yang baik, telus dan berintegriti dalam kalangan penyedia perkhidmatan dan pembekal. Seterusnya menyokong usaha kerajaan mewujudkan ekosistem perolehan yang bebas daripada rasuah,” ujarnya semasa berucap di JKR Bahagian Sibu, semalam.
Program diserikan dengan ceramah khas dari SPRM bertajuk ‘Kesalahan Lazim Akta SPRM 2009 dan Rasuah dalam Perolehan’.
Program seperti ini diharap dapat memperkukuh jalinan kerjasama antara pihak kerajaan dan sektor swasta ke arah membina persekitaran perolehan awam yang lebih telus dan berintegriti.
Oleh Akun Giman