
BINTANGOR: Seramai 479 peserta telah menyertai pertandingan mewarna sempena sambutan Hari Kebangsaan 2025 anjuran Pergerakan Wanita Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong yang juga Pengerusi SUPP Cawangan Bintangor, Datuk Ding Kuong Hiing, berkata ia sekali gus mencatat peningkatan berbanding tahun sebelumnya.
“Tahniah kepada Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor kerana berjaya menganjurkan pertandingan tersebut selama tiga tahun berturut-turut.
“Penyertaan yang meningkat ini membuktikan program mewarna telah mendapat tempat di hati masyarakat dan wajar dijadikan acara tahunan di Daerah Meradong,” katanya ketika berucap pada pertandingan tersebut bertempat di Dewan Masyarakat Meradong, baru-baru ini.
Koung Hiing turut berasa gembira kerana ibu bapa hadir menemani anak-anak mereka, sekali gus menjadikan pertandingan ini sebagai wadah mengeratkan hubungan kekeluargaan.
“Aktiviti mewarna memberi banyak manfaat kepada kanak-kanak dan juga orang dewasa termasuk meningkatkan kemahiran motor halus, daya tumpuan, kreativiti serta membantu mengurangkan tekanan.
“Mewarna juga dapat menanam sikap sabar, meningkatkan keyakinan diri dan menggalakkan interaksi sosial, di samping memberi ruang kepada anak-anak mengekspresikan emosi mereka,” katanya.
Turut hadir Pegawai Daerah Meradong, Thomas Geoffrey Kendawang, Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing, Timbalan Pegawai PPD Daerah Meradong, Mahathir Mahdini dan Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Konselar Chieng Ming Kiong.
Oleh Earl Anek