

DATO Mohd Chee Kadir turun padang menyertai gotong-royong membersihkan pantai, berganding bahu dengan penduduk dan agensi tempatan. Foto: Pusat Khidmat ADUN Kabong
KABONG: Debaran semakin terasa, Pantai Tanjung Kembang kini bersiap sedia menerima ribuan pengunjung apabila Maraton Pantai Antarabangsa Kabong (KIBTM) 2025 membuka tirai pada 13 hingga 16 September ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kabong, Dato Mohd Chee Kadir berkata, acara sulung itu bakal melakar sejarah apabila menarik penyertaan daripada 19 negara, termasuk 470 pelari profesional antarabangsa serta wakil dari tujuh negeri di Malaysia.
“Berdasarkan pengalaman Pesta Layang-Layang Antarabangsa terdahulu, kita menjangka lebih 10,000 pengunjung akan membanjiri Pantai Tanjung Kembang sepanjang empat hari acara ini diadakan,” katanya.
Sementara itu, hari ini Chee Kadir bersama isteri, Datin Meryani Yassin turun padang menyertai gotong-royong membersihkan pantai, berganding bahu dengan penduduk dan agensi tempatan.
Program itu menjadi simbol kesatuan masyarakat Kabong dalam mengangkat acara bertaraf dunia itu.
KIBTM 2025 mencapai kemuncaknya pada 14 September, dengan majlis perasmian oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Pantai Tanjung Kembang.
Selain maraton, pelbagai aktiviti sampingan dan tarikan pelancongan turut menanti, menjadikan Kabong bukan sekadar lokasi larian, tetapi juga destinasi pelancongan antarabangsa.
Orang ramai dipelawa hadir untuk bersama menyaksikan Kabong melakar sejarah baharu dalam sukan larian pantai terbesar rantau ini.
Oleh Adi Safarman