
PULAU BRUIT: Sempena Ramadan ini, sebanyak 47 organisasi di kawasan Pulau Bruit menerima peruntukan Projek Kecil Luar Bandar (MRP) berjumlah RM473,970, yang telah diserahkan oleh Timbalan Mneteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol.
Organisasi tersebut termasuk Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), rumah panjang serta jawatankuasa masjid dan surau.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semop berkata, dana tersebut bertujuan membantu membaik pulih kemudahan, pembelian barangan keperluan masjid dan surau, pembangunan prasarana awam di kampung dan rumah panjang serta pelaksanaan program kebajikan belia dan kemasyarakatan.
“Kita mahu memastikan setiap kampung dan rumah panjang terus mendapat manfaat untuk pembangunan fizikal dan sosial, lebih-lebih lagi semasa Ramadan ini.
“Dana ini juga digunakan untuk memperkasa belia melalui aktiviti kesukarelawanan dan program kemasyarakatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Sementara itu, beliau menambah sebanyak RM20,000 daripada jumlah keseluruhan dana MRP itu diperuntukkan khas bagi menjayakan Program Ziarah Kasih Ramadan di 16 kampung sekitar Pulau Bruit.
Melalui program itu, golongan belia kampung digerakkan untuk mengunjungi serta menyantuni 10 keluarga daif dan asnaf di setiap kampung bagi menyerahkan sumbangan duit raya dan buah tangan.
“Selain membantu golongan memerlukan, program seperti ini penting untuk menggalakkan penglibatan anak muda dalam kerja-kerja kebajikan.
“Ia juga menjadi jambatan silaturahim antara generasi muda dan warga emas kampung,” katanya lagi.
Dalam perkembangan lain, ketika diminta mengulas mengenai dua jambatan baharu di Jepak dan Batang Rajang, Abdullah menegaskan bahawa kedua-dua jambatan itu adalah sebahagian daripada 10 jambatan utama yang menghubungkan keseluruhan jalan pesisir sepanjang 896 kilometer (km).
“Kesemua jambatan ini dibangunkan dengan kos RM3.8 bilion sepenuhnya dibiayai daripada tabung kewangan Sarawak sendiri, hasil kepimpinan negeri yang bijak mengurus sumber pendapatan,” jelasnya.
Katanya lagi, jarak perjalanan akan lebih pendek bila semua jaringan jalan raya dan jambatan di sepanjang pesisir Sarawak siap.
“Ia akan memberi kesan positif terhadap aktiviti sosioekonomi masyarakat persisir yang kebanyakannya adalah warga nelayan dan petani.
“Sektor pelancongan akan mula berkembang di beberapa kawasan pesisir yang mempunyai potensi tarikan pelancong,” katanya.
Beliau menekankan, kestabilan politik, kecekapan agensi kerajaan negeri serta perpaduan masyarakat telah menjadi faktor utama dalam mempercepatkan pembangunan Sarawak dalam pelbagai aspek.
Oleh Earl Anek