BINTANGOR: Penyertaan seramai 465 peserta dalam Pertandingan Mewarna sempena Pesta Meradong 2026 mencerminkan minat tinggi generasi muda terhadap aktiviti kreatif.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meradong, Datuk Ding Kuong Hiing berkata, program tersebut menyediakan ruang kepada kanak-kanak dan golongan muda untuk mengembangkan kreativiti serta menyerlahkan bakat masing-masing.
Katanya, penyertaan yang tinggi turut memperlihatkan sokongan masyarakat, khususnya ibu bapa, terhadap aktiviti yang memberi manfaat kepada perkembangan generasi muda.
“Penyertaan seramai 465 peserta amat menggalakkan dan menunjukkan bahawa aktiviti seperti pertandingan mewarna masih mendapat sambutan baik daripada kanak-kanak dan golongan muda.
“Program seperti ini bukan sahaja memberi peluang kepada mereka menunjukkan kreativiti dan bakat, malah menyediakan aktiviti yang sihat serta bermanfaat sempena Pesta Meradong 2026,” katanya.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Cawangan Bintangor berkata demikian ketika menghadiri Pertandingan Mewarna sempena Pesta Meradong 2026 anjuran Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, semalam.
Pertandingan tersebut dibahagikan kepada dua kategori, iaitu kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dan kategori peserta berumur 18 tahun ke bawah.
Ding berkata, aktiviti berteraskan kreativiti penting kerana memberi peluang kepada peserta menggunakan imaginasi dan kebolehan masing-masing, selain membantu membina keyakinan diri sejak usia muda.
“Kehadiran dan sokongan ibu bapa serta ahli keluarga juga memainkan peranan penting dalam memberi galakan kepada anak-anak untuk terus mengembangkan bakat dan potensi mereka.
“Kita berharap lebih banyak aktiviti seperti ini dapat diteruskan supaya generasi muda mempunyai platform untuk berkarya, berinteraksi dan mengisi masa mereka dengan perkara yang positif,” katanya.
Katanya, penganjuran pertandingan tersebut turut melengkapi Pesta Meradong 2026 dengan aktiviti yang melibatkan penyertaan keluarga dan masyarakat setempat.
Selain menjadi medan mencungkil bakat, program berkenaan turut membuka ruang interaksi antara peserta, ibu bapa dan komuniti, sekali gus mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat Meradong.
Ding turut mengucapkan tahniah kepada Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor atas usaha menganjurkan pertandingan tersebut serta semua peserta yang mengambil bahagian.
“Dengan sambutan yang begitu baik, kita berharap program seumpama ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mencungkil lebih banyak bakat, kreativiti dan potensi generasi muda di Meradong,” katanya.
Turut hadir Pengerusi Pengelola yang juga Ketua Pergerakan Wanita SUPP Cawangan Bintangor, Konselar Chieng Ming Kiong Setiausaha Majlis Daerah Meradong dan Julau (MDMJ), Lau Chi Sing Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah (PPD) Meradong, Nassarudin Ibrahim Pemanca Yii Hee Sieng dan Konselar Tang Kieh Ming.
Oleh Earl Anek




