KUCHING: Penduduk Sarawak bakal menikmati bekalan air lebih stabil dan berkualiti dengan pelaksanaan 461 projek penggantian paip baharu di seluruh negeri membabitkan peruntukan RM1.08 bilion.
Projek mega yang dilaksanakan dari 4 November 2024 dan dijangka siap 3 Mei 2028 ini bertujuan menggantikan paip lama yang berkarat dan sering bocor, sekali gus mengurangkan masalah gangguan bekalan air yang sekian lama membelenggu penduduk.
Dalam lawatan kerja Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, Jabatan Bekalan Air Luar Bandar Sarawak (JBALB) menegaskan bahawa kerajaan komited memastikan projek ini berjalan lancar dan siap dalam tempoh yang ditetapkan demi kesejahteraan rakyat.
JBALB turut menekankan kepentingan projek penggantian paip dalam meningkatkan kualiti hidup penduduk terutama di kawasan luar bandar yang sering menghadapi masalah bekalan air tidak konsisten.
“Bahagian Kuching menjadi antara kawasan utama yang menerima manfaat daripada projek ini dengan pelaksanaan penggantian paip sepanjang 58.91 kilometer di beberapa lokasi strategik.
“Antara kawasan yang terlibat termasuk Skim Rampangi I & II, Kampung Santubong dan Pantai Putri, Taman Duranda Mas, Kampung Sinjok – Tijirak serta Kampung Skuduk.
“Pelaksanaan projek ini diharap dapat mengakhiri masalah tekanan air rendah yang sering dihadapi oleh penduduk,” jelasnya.
Selain itu, JBALB turut menyatakan projek penggantian paip jenis HDPE khusus bagi Skim Rampangi I & II, sepanjang 10 kilometer ini menelan belanja RM1.6 juta dan dijangka siap pada suku kedua 2025.
“Projek ini bakal memberi manfaat kepada lebih 100 rumah dengan peningkatan tekanan air yang lebih baik serta penduduk yang terlibat menyambut baik usaha ini dan berharap ia akan memberi penyelesaian jangka panjang terhadap masalah bekalan air yang mereka hadapi sejak sekian lama,” katanya pada majlis lawatan kerja projek penggantian paip baharu di sini, hari ini.
Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak telah mengamanahkan JBALB Sarawak, Lembaga Air Kuching (LAK), Lembaga Air Sibu (LAS) dan Sarawak Water Sdn. Bhd. sebagai agensi pelaksana bagi memastikan projek tersebut berjalan lancar.
JBALB Sarawak dalam kenyataan memaklumkan bahawa usaha tersebut juga selaras dengan misi kerajaan Sarawak untuk mengurangkan kadar Air Bukan Hasil (NRW) di seluruh Sarawak.
Menerusi pelaksanaan agresif ini, kerajaan Sarawak terus komited dalam meningkatkan kualiti hidup rakyat melalui sistem bekalan air yang lebih mampan dan cekap.
Turut hadir, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi, buat kali pertama turun padang meninjau pelaksanaan projek di Jalan So Boah, Kuching, dan diiringi oleh Timbalan Menteri, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, serta pegawai-pegawai kanan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Sarawak.
Oleh Masrin Affirah / Amanda L.