
BEKENU: Program Alam Sekitar Sekolah Rendah peringkat Daerah Subis yang julung kali diadakan hari ini mencatat sejarah dengan penyertaan 44 sekolah rendah, melibatkan murid Tahun 4 hingga Tahun 6 serta guru pengiring.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-kanak, Datuk Rosey Yunus, berkata program ini mengetengahkan tema ‘From Plastic Pollution to Solution’, sejajar dengan isu semasa pencemaran plastik yang memberi impak besar terhadap ekosistem dan kehidupan manusia.
“Pendidikan alam sekitar perlu bermula sejak usia muda kerana ia akan membentuk generasi lebih prihatin, bertanggungjawab, dan bersedia menghadapi cabaran perubahan iklim.
“Seperti peribahasa Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya, inilah masa terbaik untuk menyemai nilai cinta alam dalam jiwa anak-anak kita,” katanya.
Beliau yang juga hli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian pada Program Alam Sekitar Sekolah Rendah Peringkat Daerah Subis di Sekolah Kebangsaan (SK) Beliau Isa di sini hari ini.
Tambahnya, program ini diyakini mampu melahirkan murid yang menjadi a perubahan hijau dalam kalangan keluarga, rakan dan komuniti setempat, sekali gus menyemarakkan budaya pemeliharaan alam sekitar secara berterusan.
“Antara aktiviti menarik yang dijalankan termasuk Perburuan Alam Sekitar, Pertandingan Eco Brick (Bata Mesra Alam), dan Peraduan Idea Inovatif Alam Sekitar yang bukan sahaja menguji kreativiti dan kepintaran murid, malah menggalakkan pembelajaran dalam bidang STEM, komunikasi dalam Bahasa Inggeris, serta semangat kerjasama berpasukan,” katanya lagi.
Program anjuran bersama Sarawak Energy Berhad (SEB), Kontraktor Niah Substation dan Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) itu turut dihadiri oleh Pegawai Pendidikan Daerah Subis, Rahayu Deli dan Pemanca Dr Ali Mudin serta ketua-ketua kaum setempat.
Oleh Adum Liu