
BAU: Mahkamah Majistret Bau telah membicarakan sebanyak 44 kertas siasatan berkaitan kes dadah yang dibawa ke mahkamah pada 22 dan 23 Januari 2026, melibatkan kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintenden Mohd Haide A Rahman, berkata seramai 35 individu telah dituduh di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Menurut beliau, mahkamah telah menjatuhkan hukuman denda antara RM2,000 hingga RM3,000.
Bagi tertuduh yang gagal membayar denda tersebut, hukuman penjara antara enam hingga 11 bulan telah dikenakan, selain perintah pengawasan selama tiga tahun.
“Selain itu, terdapat individu yang berdepan dua pertuduhan di bawah seksyen yang sama,” katanya.
Beliau menambah, seramai tujuh individu telah mengaku bersalah atas pertuduhan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dikenakan denda antara RM2,500 hingga RM3,700, atau hukuman penjara antara tujuh hingga lapan bulan sekiranya gagal membayar denda.
Sementara itu, bagi kesalahan di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, seramai dua individu telah dijatuhi hukuman penjara antara 30 hingga 48 bulan dan masing-masing tiga sebatan.
Oleh Connie Chieng