PERASMIAN… Pengetua SMK Marudi, Effendi Panglima mengiringi Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru,
Blalang Atom menyalakan obor kejohanan pada Kejohanan Olahraga ke-58 SMK Marudi 2022 di Kompleks Sukan Marudi.
SERAMAI 426 atlet daripada 995 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Marudi menyertai Kejohanan Olahraga ke-58 berjalan lancar yang diadakan di Kompleks Sukan Marudi, baru-baru ini.
Kejohanan olahraga tersebut turut dikawal selia 81 pendidik yang bertugas sebagai pegawai teknikal dan pengurus kejohanan dan dibantu lebih 200 pelajar lain sebagai pembantu kejohanan bagi memastikan kelancaran program berkenaan.
Pengetua SMK Marudi, Effendi Panglima berkata, kejohanan itu berjalan lancar atas komitmen semua guru, para pelajar dan juga ibu bapa yang hadir.
Ujarnya, kehadiran ibu bapa, para ketua masyarakat dan juga rakan dari jabatan lain merupakan sokongan kepada pihak sekolah sebagai penglibatan dan jalinan komunti untuk sekolah.
Melalui kejohanan berkenaan, ia bukan sahaja dapat mencungkil bakat baharu yang perlu digilap, malah boleh menjadi wakil sekolah untuk pertandingan di peringkat bahagian nanti.
“Sukan ini bukan sahaja untuk kesihatan, tetapi ia juga sebahagian falsafah pendidikan Negara untuk kemenjadian pelajar yang holistik di samping kemenjadian akadamik dan juga sahsiah,” katanya pada perasmian dan penangguhan Kejohanan Olahraga ke-58 SMK Marudi 2022 di Marudi.
Dalam pada itu, pihak sekolah juga menitikberatkan kemenjadian murid dalam bidang kokurikulm dan sukan yang mana melalui kejohanan sukan ini ia juga dapat memupuk semangat perpaduan dan kerjasama yang erat murid, guru dan masyarakat.
Malah, sukan merupakan satu flatform bagi pelajar baik menimba pengetahuan dalam bidang penganjuran majlis, merancang, melaksana dan seterusnya menilai program yang dilaksanakan.
“Saya berharap sepanjang kejohanan ini, ia dapat digarapkan dalam kehidupan dan juga memberi peluang kepada para pelajar untuk menerima pendidikan luar yang akan berguna kepada mereka apabila meninggalkan alam persekolahan,” tambahnya.
Ujar beliau, semangat perjuangan anak-anak untuk mencapai kesempurnaan dalam melakukan sesuatu itu perlu di bawa ke dalam bidang akademik iaitu sentiasa bersemangat bagi mencapai kejayaan yang lebih tinggi.