4,226 anjing divaksin rabies tahun lalu, 2,322 tahun ini

Facebook
WhatsApp
SEEKOR anjing menerima vaksinasi anti-rabies pada Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing di Taman Awam Miri.

MIRI: Sebanyak 2,322 ekor anjing telah menerima vaksinasi anti-rabies di sini setakat semalam menerusi Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing.

Menteri Pengangkutan, Dato Sri Lee Kim Shin berkata, jumlah itu dijangka terus meningkat susulan sambutan menggalakkan terhadap program vaksinasi bergerak yang dilaksanakan di beberapa lokasi di bandar raya ini.

Menurutnya, sebanyak 4,226 ekor anjing telah menerima vaksinasi anti-rabies sepanjang tahun lalu.

“Setakat semalam, kita sudah mempunyai hampir 2,322 ekor anjing yang divaksin. Sambutan juga sangat baik di semua lokasi vaksinasi bergerak yang dijalankan.

HADIR…Dato Sri Lee Kim Shin ketika hadir pada Program Vaksinasi Anti-Rabies, Mikrocip dan Perlesenan Anjing di Taman Awam, Miri, hari ini.

“Pagi ini sahaja, kira-kira 90 ekor anjing sudah menerima vaksinasi sejak 9.00 pagi,” katanya ketika ditemui pada program berkenaan di Taman Awam Miri, hari ini.

Lee menggalakkan semua pemilik anjing di Miri mengambil peluang mendapatkan vaksinasi anti-rabies secara percuma.

“Saya ingin menggalakkan semua pemilik haiwan peliharaan, khususnya pemilik anjing di Miri, membawa anjing mereka untuk mendapatkan vaksinasi.

“Ia percuma, jadi sila manfaatkan peluang ini kerana kita mahu Miri kekal bebas rabies,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama masyarakat amat penting bagi memastikan semua anjing peliharaan menerima vaksinasi sekali gus membantu mengawal penularan rabies.

“Saya amat prihatin mengenai vaksinasi rabies kerana kawasan ini besar dan mempunyai banyak anjing. Harapan saya ialah setiap pemilik anjing di Miri memastikan anjing mereka menerima vaksinasi.

“Yang penting, kita mahu memastikan Miri kekal bebas rabies. Ini juga merupakan hasrat kerajaan,” katanya.

Oleh Liong Chai Ling