SKRANG: Kehidupan penduduk dari tiga rumah panjang yang terjejas akibat dikenakan sekatan pergerakan bagi tujuan kuarantin dan kawalan pandemik Covid-19 sebelum ini telah menarik perhatian dua pihak dari Bandar Simanggang.
Ia terbukti apabila Kesatuan Soon Heng Simanggang dan Jawatankuasa Pengurusan Tokong Ciyun Simanggang bertindak menghulur bantuan berupa makanan kepada penghuni di ketiga-tiga rumah panjang tersebut pada Ahad lepas.
Tiga rumah panjang dari kawasan ini yang menerima bantuan makanan berkenaan adalah Rumah Tawi dari Nanga Blawan, Rumah Chunggat dari Nanga Pulau dan Rumah Sigan dari Nanga Pelo, Ulu Skrang.
Kesemua bantuan makanan tersebut telah pun disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Kesatuan Soon Heng, Temenggung Kueh Aik Seng kepada para Tuai Rumah di ketiga-tiga rumah panjang berkenaan.
“Setelah mendapat tahu mengenai perintah sekatan pergerakan terhadap ketiga-tiga rumah panjang itu maka pihak kami telah pun bertindak mengadakan perbincangan bagi mencari jalan membantu para penghuni di penempatan berkenaan.
“Akhir kedua-dua pihak telah pun sebulat suara untuk menghulur bantuan makanan bagi membantu meringankan kehidupan semua penghuni yang sukar bergerak keluar ketika ini untuk mencari nafkah,” kata beliau.
Kueh memberitahu aktiviti amal yang dilaksana oleh Kesatuan Soon Heng Simanggang dan Jawatankuasa Pengurusan Tokong Ciyun Simanggang itu telah pun memberi manfaat kepada 42 penghuni dari tiga rumah panjang berkenaan.
Selain itu, Kueh menerusi majlis ringkas penyerahan bantuan itu juga menasihat penghuni dari ketiga-tiga rumah panjang tersebut untuk memberi sepenuh terhadap agensi kerajaan yang mengendali urusan kuarantin mereka sehingga selesai kelak.
Semua penghuni kata beliau perlu menjalani ujian saringan (swab) Covid-19 mengikut jadual yang ditetapkan demi membolehkan petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi mengenal pasti mereka yang positif jangkitan penyakit itu nanti.
“Jangan larikan diri daripada ujian saringan itu nanti. Fikirkanlah keselamatan ahli keluarga dan saudara terdekat kita dengan bertindak membantu kerajaan untuk sama-sama menyekat penularan pandemik Covid-19 itu nanti,” kata Kueh.
Difahamkan bahawa Kesatuan Soon Heng Simanggang sering melaksana aktiviti amal kebajikan selama ini bersama dengan pihak Pertubuhan Meninggikan Akhlak Che Chuan Khor simanggang.
Oleh VALENTINE NGUMBANG