

TAHNIAH….Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyerahkan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah. Foto Facebook Datuk Len Talif Salleh
BINTANGOR: Ancaman dadah dan bahan terlarang disifatkan sebagai musuh utama golongan belia dan berpotensi memusnahkan masa depan mereka, tegas Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh.
Menurutnya, belia merupakan pewaris kepimpinan negara dan apa jua jati diri, sikap serta pegangan mereka hari ini akan membentuk masa depan bangsa.
“Sebab itulah kem seperti ini penting dalam membina benteng diri, membentuk sahsiah dan memperkasa daya juang generasi muda agar menjadi modal insan berkualiti tinggi,” katanya ketika berucap pada Majlis Penangguhan Kem Pemantapan Jati Diri Belia Peringkat Bahagian Sarikei 2025 di Dewan PULAKO, IPG Kampus Rajang, semalam.
Len Talif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang berkata, statistik menunjukkan majoriti penagih baharu datang daripada kelompok muda.
“Tidak dapat kita nafikan, dadah adalah musuh nombor satu belia. Ia bukan sahaja merosakkan diri, tetapi turut memberi kesan buruk kepada keluarga, masyarakat dan negara.”


TAHNIAH….Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar, Datuk Len Talif Salleh menyerahkan hadiah kepada pemenang cabutan bertuah. Foto Facebook Datuk Len Talif Salleh
Beliau turut mengingatkan peserta supaya menjauhi penyalahgunaan dadah, vape, rokok elektronik dan segala bentuk bahan terlarang lain.
Tambah beliau, kem yang dianjurkan memberi peluang kepada belia untuk meningkatkan motivasi, sahsiah dan daya tahan mental serta fizikal melalui pelbagai aktiviti lasak dan ceramah motivasi.
“Peserta belajar berdikari, mengamalkan sikap tolong-menolong, dan membina keyakinan diri melalui ujian mental dan fizikal yang terancang. Semua ini adalah pengalaman yang tidak dapat diperoleh di dalam bilik darjah semata-mata.”
Beliau menegaskan bahawa pembangunan modal insan bukan sekadar melahirkan tenaga kerja, tetapi individu yang lengkap dengan ilmu, akhlak, kemahiran dan disiplin.
“Inilah yang kita harapkan daripada generasi belia Sarikei menjadi penyumbang kepada pembangunan daerah, negeri dan negara.”
Beliau turut menggesa semua peserta agar mengamalkan segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh dalam kehidupan seharian dan menjadi contoh teladan kepada rakan sebaya.
Seramai 42 belia dari Daerah Sarikei menyertai kem ini yang dikendalikan oleh ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK).
Program tersebut merupakan inisiatif Jawatankuasa Menangani Isu Dadah dan Substan (MIDS) Daerah Sarikei dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan Bahagian Sarikei, Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei, IPG Kampus Rajang, Pejabat Kesihatan Bahagian Sarikei dan AADK Daerah Sarikei.
Oleh Earl Anek