415 peserta manfaat Program MyLesen B2 DUN Lingga

Facebook
WhatsApp
SERAMAI 415 peserta hadir mengikuti Program Program MyLesen B2 bagi kawasan DUN Lingga yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, semalam. Foto ADUN Lingga

SIMANGGANG: Seramai 415 peserta mengikuti Program Bantuan Lesen Motosikal (B2) MyLesen bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lingga yang berlangsung di Dewan Suarah Sri Aman, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lingga, Dayang Noorazah Awang Sohor, berkata penyertaan yang menggalakkan itu membuktikan kesungguhan masyarakat memanfaatkan peluang yang disediakan menerusi program berkenaan.

Menurutnya, Program MyLesen B2 merupakan satu inisiatif penting dalam membantu masyarakat mendapatkan lesen motosikal secara sah, khususnya golongan yang memerlukan sokongan dalam proses mendapatkan lesen.

“Program ini bukan sahaja membantu peserta mendapatkan lesen motosikal B2, malah turut memberi penekanan terhadap aspek keselamatan dan pematuhan peraturan jalan raya,” katanya.

Beliau berkata, pengetahuan berkaitan keselamatan jalan raya amat penting bagi memastikan setiap penunggang motosikal mempunyai kesedaran dan tanggungjawab ketika berada di jalan raya.

Katanya, kehadiran peserta seawal pagi jelas menunjukkan sambutan yang amat menggalakkan terhadap program tersebut.

“Kesungguhan peserta untuk hadir dan mengikuti proses yang ditetapkan amat dihargai kerana lesen motosikal bukan sekadar satu keperluan, tetapi juga melibatkan aspek keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Program berkenaan turut melibatkan urusan pendaftaran peserta serta proses berkaitan sebagai persediaan sebelum mereka meneruskan ke peringkat seterusnya dalam usaha mendapatkan lesen motosikal B2.

Dayang Noorazah turut merakamkan ucapan tahniah kepada kesemua 415 peserta yang terpilih dan hadir menyertai program berkenaan.

Beliau berharap semua peserta dapat memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang mengikuti latihan dan ujian yang ditetapkan.

“Diharapkan kesemua peserta dapat mengikuti setiap peringkat dengan baik sehingga berjaya memperoleh lesen motosikal masing-masing,” katanya.

Pada masa sama, beliau mengingatkan peserta supaya menjadikan ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang program sebagai panduan untuk menjadi penunggang motosikal yang berhemah serta sentiasa mengutamakan keselamatan.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan pelaksanaan Program MyLesen B2 DUN Lingga, termasuk pihak yang memastikan urusan pendaftaran dan pengendalian peserta berjalan dengan teratur serta lancar.

Oleh Adi Safarman