
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,079 kes keganasan dan 3,042 kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak serta penjaga direkodkan di seluruh negara sejak 2021 hingga bulan lepas.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata sebanyak 1,057 kes keganasan dilaporkan pada tahun ini berbanding 1,201 kes tahun lepas, sebanyak 612 kes pada 2023, 502 kes (2022) dan 707 kes (2021).
“Bagi kes gangguan seksual iaitu mangsanya kanak-kanak dan pelakunya ialah penjaga maksudnya ibu bapa, guru, pengasuh, bapa angkat dan keluarga angkat, jumlah dalam tempoh sama ialah 418 kes pada 2021, 511 kes (2022), 634 kes (2023), 667 kes (2024) dan 812 kes setakat November tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Negara hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Nelson W Angang yang ingin tahu data terkini kes keganasan dan kes gangguan seksual melibatkan kanak-kanak dan penjaga serta usaha Kementerian Dalam Negeri dalam memberikan bantuan sokongan dan pencegahan.
Saifuddin Nasution berkata KDN sentiasa bekerjasama dengan Polis Antarabangsa (Interpol) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bagi membantu siasatan.
“Dari aspek pelindungan mangsa pula, apabila mangsa sudah dikenal pasti, polis akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat dari segi kaunseling, rawatan perubatan dan psikologi.
“Kemudian mereka dirujuk ke rumah perlindungan kerana Akta Kanak-kanak 2001 menghendaki demikian,” katanya.
Saifuddin Nasution berkata polis menempatkan pegawai perhubungan di sekolah untuk memberi penerangan berterusan tentang bahaya jenayah tersebut dengan kerjasama pelbagai agensi kaunseling.
Sementara itu, ketika menjawab soalan Senator Mohd Hasbie Muda yang meminta jumlah kes pendaftaran kanak-kanak tanpa dokumen telah diterima dan diselesaikan, Saifuddin Nasution berkata setakat semalam, sebanyak 20,032 kes berjaya diselesaikan.
-BERNAMA