
KUALA LUMPUR: Sebanyak 4,025 majikan melibatkan 51,363 pekerja telah menyertai Dasar Gaji Progresif (DGP) sehingga 31 Disember, 2025 dan memenuhi syarat kenaikan gaji.
Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, justeru kerajaan akan terus meneliti panduan gaji DGP kerana tempoh yang diberikan adalah sehingga 2027.
“Jadi tahun ini, insya-Allah saya cuba meneliti supaya DGP dapat terus digunapakai.
“Kita memerlukan juga kerjasama daripada pihak swasta untuk melaksanakannya dan meneliti supaya gaji pekerja dapat dinaikkan seiring dengan produktiviti yang lebih baik,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata kerajaan melaksanakan DGP bagi mereformasikan pasaran buruh untuk meningkatkan pendapatan pekerja selari dengan peningkatan produktiviti.
“Majikan akan menerima insentif tunai setelah menaikkan gaji pekerja mengikut panduan gaji DGP. Panduan gaji DGP yang dibangunkan bertujuan memastikan pekerja menerima gaji yang sepadan dengan kos sara hidup,” katanya.
Akmal Nasrullah berkata, Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) menetapkan sasaran gaji dan upah penengah sebanyak RM3,500 sebulan pada 2030.
Pada 2024, gaji dan upah penengah bulanan meningkat kepada RM2,793 daripada RM2,602 pada 2023, iaitu pertumbuhan tahunan sebanyak 7.3 peratus, katanya.
Beliau berkata selain itu, Perintah Gaji Minimum (PGM) 2024 telah diwartakan mulai 1 Februari 2025 dengan kadar gaji minimum meningkat kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 sebulan sebelum itu.
“Sebagaimana yang digariskan dalam RMK13, semakan semula gaji minimum akan dilaksanakan secara berkala,” katanya.
-Bernama