

SIBU: Sebanyak 4,000 botol minyak masak seberat dua kilogram berjaya diagihkan kepada penduduk yang berdaftar di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bawang Assan menerusi Program Penghargaan Komuniti.
Pengerusi Cawangan Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) Bawang Assan, Kevin Lau Kor Jie berkata, program yang berlangsung selama tiga hari berturut-turut itu dianjurkan sebagai tanda penghargaan kepada masyarakat atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan selama ini.
Menurutnya, program itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada penduduk setempat sehingga kesemua peruntukan sebanyak 4,000 botol minyak masak habis ditempah tidak lama selepas pendaftaran dibuka.
“Walaupun jumlah sumbangan yang disediakan adalah terhad dan sambutan yang diterima amat memberangsangkan sehingga menimbulkan beberapa kekangan sepanjang pelaksanaan program, saya bersyukur kerana majoriti peserta menunjukkan sikap memahami, sabar dan memberi kerjasama yang baik.
“Kerjasama tersebut membolehkan program ini dilaksanakan dengan lancar dan saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua yang terlibat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada hari terakhir program tersebut, Lau bersama pasukan perkhidmatan SUPP Bawang Assan telah turun padang ke beberapa kawasan termasuk Lebaan, Empawah, Sungai Sadit, Engkilo, Sungai Bidut, Tanjung Kunyit dan Paradom bagi menyampaikan sendiri sumbangan berkenaan kepada penerima.
Beliau berkata, pengagihan minyak masak tersebut merupakan simbol penghargaan yang sederhana namun membawa makna besar sebagai tanda terima kasih kepada penduduk Bawang Assan.
“Walaupun nilainya tidak seberapa, kami berharap sumbangan ini dapat membantu meringankan sedikit beban kos sara hidup harian penerima serta menunjukkan keprihatinan kami terhadap kebajikan masyarakat,” katanya.
Lau turut merakamkan penghargaan kepada semua anggota pasukan perkhidmatan SUPP Bawang Assan yang bertungkus-lumus menjayakan program tersebut bermula daripada proses pendaftaran dan pengesahan permohonan, penyelarasan logistik, pengangkutan bekalan hingga pengagihan di lapangan.
Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada ahli-ahli majlis tempatan, penghulu, kapitan serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang membantu melancarkan proses pengagihan, selain para penaja yang telah memberikan sokongan bagi menjayakan program berkenaan.
Lau berkata, pihaknya akan terus berusaha mendapatkan lebih banyak sumber dan sokongan daripada pelbagai pihak untuk menganjurkan program berasaskan komuniti dan kebajikan pada masa akan datang.
“Terima kasih atas sokongan dan kepercayaan yang berterusan. Marilah kita bersama-sama membina Bawang Assan yang lebih bersatu, prihatin dan progresif demi kesejahteraan semua,” katanya lagi.
Oleh Akun Giman