
MIRI: Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Miri telah menerima jemputan daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinjar, Baram untuk mengadakan ceramah serta membuka ruang pameran sempena Minggu Program Antidadah sekolah tersebut, hari ini.
Menurut kenyataan AADK Miri, program ini bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar mengenai bahaya penyalahgunaan dan penagihan dadah.
“Program ini telah mendapat sambutan baik oleh warga sekolah, melibatkan penyertaan seramai 400 pelajar dari Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4.
“Ceramah telah disampaikan oleh Unit Pencegahan AADK Miri, Khairul Fadzli Kedri yang menyampaikan maklumat berkaitan jenis-jenis dadah, kesan terhadap kesihatan mental dan fizikal, serta langkah pencegahan awal di peringkat sekolah,” katanya.
Tambahnya, selain ceramah, para pelajar turut berpeluang mengunjungi ruang pameran antidadah yang disediakan oleh AADK Miri, iaitu pelbagai bahan informasi serta aktiviti interaktif disediakan bagi menarik minat dan meningkatkan pemahaman pelajar terhadap isu dadah.
“AADK Miri amat berbesar hati dengan jemputan ini dan komited untuk terus bekerjasama dengan institusi pendidikan dalam usaha melahirkan generasi bebas dadah.
“Sehubungan itu, AADK Miri juga mengalu-alukan jemputan dan kerjasama daripada mana-mana pihak yang berminat untuk menganjurkan program pencegahan dadah di masa akan datang,” ujarnya lagi.