40 peserta sertai ceramah keselamatan kebakaran

Facebook
WhatsApp
PEGAWAI BBP Bintangor menyampaikan ceramah kesedaran keselamatan kebakaran kepada kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong dalam program yang diadakan baru-baru ini.

BINTANGOR: Seramai 40 peserta menyertai ceramah kesedaran keselamatan kebakaran di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Meradong sebagai usaha meningkatkan pengetahuan dan kesiapsiagaan menghadapi sebarang insiden kebakaran.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin berkata, program yang bermula dari 8.30 pagi hingga 10.30 pagi baru-baru ini dikendalikan oleh Pegawai Bomba Kanan (PBK) I, Mijan Pamin dan lima anggota bomba.

PBK I Mijan Pamin menerangkan cara penggunaan alat pemadam api. Foto BBP Bintangor

Katanya, program tersebut memberi penekanan kepada aspek keselamatan kebakaran melalui ceramah, latihan pengungsian bangunan dan tatacara penggunaan alat pemadam api.

“Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran peserta mengenai langkah pencegahan kebakaran, prosedur pengungsian bangunan dan penggunaan alat pemadam api yang betul sekiranya berlaku kecemasan.

“Latihan pengungsian bangunan dilaksanakan bagi memastikan peserta memahami tindakan yang perlu diambil ketika berlaku kebakaran supaya proses pemindahan dapat dilakukan dengan cepat, teratur dan selamat,” katanya ketika dihubungi.

Tambahnya, peserta turut diberi pendedahan secara teori mengenai kaedah penggunaan alat pemadam api bagi membolehkan tindakan awal diambil sebelum api merebak.

“Pengetahuan asas mengenai keselamatan kebakaran amat penting kerana tindakan yang pantas dan tepat mampu mengurangkan risiko kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda.

“Budaya keselamatan perlu diterapkan secara berterusan di semua organisasi agar setiap individu lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan,” katanya.

Oleh Earl Anek