KUCHING: Empat menteri Kerajaan Perpaduan diketuai Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof selesai mengadakan pertemuan dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg petang tadi.
Turut serta Menteri Kerja Raya, Dato Sri Alexander Nanta Linggi; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato Sri Nancy Shukri dan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang.
Fadillah dalam hantaran di facebooknya sebentar tadi menyatakan Menteri Pelancongan, Datuk Seri Tiong King Sing, tidak dapat turut serta disebabkan ada komitmen lain dengan kementeriannya di Kuala Lumpur.
Hadir sama dalam pertemuan itu ialah tiga Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, serta Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak, Datuk Amar Haji Mohamad Abu Bakar Marzuki.
Terdahulu sebaik tiba dari Kuala Lumpur, Fadillah memberitahu pemberita tujuan kunjungan terhadap Abang Johari adalah bagi mendapatkan pandangan mengenai perkara yang harus ditumpukan mereka untuk negeri ini.
Beliau yang ditugaskan untuk memfokuskan hal ehwal Sabah dan Sarawak akan membincangkan mengenai isu-isu berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dengan Abang Johari.
Fadillah berkata beliau juga telah meminta Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Armizan Mohd Ali supaya mendapatkan input daripada kerajaan Sabah mengenai perkara sama.
“Perkara-perkara berbangkit (mengenai MA63) yang boleh kita selesaikan dalam masa sebulan kita cuba selesaikan segera.
“Mungkin ada juga beberapa perkara yang perlu dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan, kita akan bawa (bentang) ke Dewan Rakyat,” katanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.