
LUSAKA (Zambia): Empat pelombong haram terbunuh selepas lombong emas runtuh di daerah Shiwang’andu, utara Zambia pada Ahad, lapor Xinhua.
Jurucakap polis Rae Hamoonga berkata kejadian berlaku apabila dinding cerun di Lombong Emas New Scene runtuh ketika keempat-empat mangsa sedang melombong emas secara manual.
Pasukan penyelamat segera digerakkan ke lokasi untuk mengeluarkan mangsa, namun semua mangsa disahkan meninggal dunia sebaik sahaja mereka ditemukan, menurut Hamoonga.
Polis telah mengenal pasti identiti keempat-empat mangsa berkenaan.
Hamoonga menerusi satu kenyataan di Facebook turut mengulangi gesaan agar orang ramai tidak terlibat dalam kegiatan perlombongan haram.
Penemuan sumber mineral seperti emas di beberapa kawasan di Zambia sejak kebelakangan ini dilaporkan telah mencetuskan peningkatan aktiviti perlombongan haram, walaupun kerajaan berusaha menghalalkan operasi berskala kecil melalui sistem pelesenan.- Bernama-Xinhua